KUALA LUMPUR 25 Julai — CTOS Digital Berhad mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kepada RM21.2 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2025.
Kumpulan pelaporan kredit itu berkata, ia meningkat sebanyak 46 peratus berbandung suku pertama didorong oleh sumbangan kukuh daripada segmen akaun utama, komersial dan terus kepada pengguna.
Syarikat berkenaan turut melaporkan peningkatan kira-kira empat peratus untuk suku ke suku (QoQ) dalam perolehan hasil kepada sebanyak RM79.0 juta direkodkan pada tempoh tiga bulan tersebut.
"Bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu naik mendadak sebanyak 221% QoQ kepada RM8.9 juta, dipacu prestasi kukuh Juris Technologies Sdn Bhd," kata CTOS dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Untuk tempoh separuh pertama tahun ini (1HFY25), hasil juga meningkat lima peratus kepada RM155.1 juta berbanding RM148.2 juta setahun lalu, manakala PATAMI selama enam bulan itu ialah RM35.6 juta.
Lembaga Pengarah syarikat tersebut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 0.65 sen sesaham biasa bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2025, dibayar pada 24 Oktober 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim Kumpulan CTOS Digital, Kevin Loh ketika mengulas perkara tersebut berkata, syarikat terus melihat pertumbuhan hasil yang positif apabila terus mempergiatkan usaha.
"Kami berusaha mendalamkan penembusan pasaran di Malaysia dan rantau ASEAN dengan beberapa siri inisiatif di seluruh kumpulan untuk mengoptimumkan struktur kos kami," katanya dalam kenyataan.
Kumpulan berkenaan tambahnya turut menggunakan sumber dengan lebih berkesan dan inisiatif itu membentuk sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk meningkatkan kecekapan operasi.
CTOS katanya, berada di landasan yang betul untuk mengukuhkan asas pertumbuhan jangka panjang secara mampan dan pada masa sama, mencapai kemajuan yang bermakna dalam inovasi produknya.
Tambah Kevin, dengan beberapa rumusan baharu dilancarkan untuk menangani keperluan pelanggan yang semakin berkembang, mereka menjangka dapat menyokong hasil dan margin masa depan. - DagangNews.com








