KUALA LUMPUR 13 Jun – Prestasi Coastal Contracts Bhd meningkat didorong oleh perluasan kapasiti loji pemprosesan gas di Mexico dan momentum kukuh dalam bahagian pembinaan kapal, menurut TA Securities.
Syarikat itu kini giat memperkukuh operasi pemprosesan gasnya menerusi perluasan loji Papan dan pengubahsuaian loji Perdiz di Mexico, termasuk penambahan keupayaan pemulihan gas petroleum cecair (LPG).
TA Securities berkata, peluasan loji Papan bersama syarikat tempatan Mexico, Pemex dijangka menambah kapasiti sekurang-kurangnya 150 juta kaki padu piawai sehari (mmscfd), dengan operasi dijangka bermula hujung tahun ini.
"Perluasan ini dijangka memperkukuh lagi keupayaan pemprosesan Coastal dan menyokong strategi infrastruktur gas Pemex secara menyeluruh," katanya dalam satu nota kajian.
Meskipun kumpulan itu mengalami gangguan tidak dirancang pada suku pertama FY25, operasi telah stabil semula dengan jumlah pemprosesan kembali ke paras optimum 345mmscfd.
Kini, kedua-dua loji beroperasi pada kapasiti penuh, dengan loji Papan mencatatkan 345mmscfd manakala loji Perdiz pada 185mmscfd.
Dalam segmen pembinaan kapal, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan kekal kukuh disokong buku pesanan yang terus berkembang.
Coastal kini mempunyai enam kapal dalam perancangan termasuk tiga kapal sokongan utiliti dan tiga kapal sokongan luar pesisir berteknologi tinggi yang dijadual diserahkan antara 2H25 hingga 1H27.
Jualan kapal sepanjang tempoh itu dijangka mencecah sehingga RM600 juta, selari dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk memperluas operasi dan memperkukuh keterlihatan pendapatan.
Dalam bahagian penyewaan kapal, aset utama kumpulan iaitu bot angkat TC7 kekal sebagai penyumbang utama.
Aset itu kini memasuki fasa akhir lanjutan kontrak yang akan tamat pada September. Sejak kenaikan kadar sewa sebanyak 35% pada September 2022, TC7 menyumbang ketara kepada pendapatan kumpulan.
"Dengan rekod prestasi operasi kukuh dan potensi digunakan semula dalam sektor seperti tenaga angin luar pesisir, TC7 kekal sebagai aset strategik, walaupun keterlihatan kontrak jangka panjang selepas lanjutan semasa masih perlu dipantau," tambah TA Securities.
Secara keseluruhan, syarikat itu turut memperoleh lanjutan kontrak bagi unit perkhidmatan pemampatan gas jack-up serta kontrak perluasan kapasiti loji Papan, yang bakal menambah pendapatan berulang kumpulan.
Firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan saranan "beli" terhadap Coastal dengan harga sasaran RM2.04.- DagangNews.com








