KUALA LUMPUR 26 Jun — Citaglobal Berhad meneroka pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Kyrgyzstan sebagai usaha bagi memperluaskan peluang perniagaan besar dalam sektor berkenaan.
Kumpulan tersebut berkata, ia berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) bersama-sama dengan Menteri Tenaga Kyrgyzstan, Ibraev Taalaibek Omukeevich semasa kunjungan ke negara ini.
Menerusi perjanjian selama tempoh setahun, kedua-dua pihak bekerjasama dalam projek RE, khususnya pembangunan bagi pembinaan pelbagai kemudahan tenaga berkenaan di negara rantau Asia Tengah itu.
“Ketika Kyrgyzstan memajukan agenda nasional menjadi pengeksport tenaga bersih serantau dan hab tenaga hijau, MOU ini mewakili titik masuk tepat pada masanya," kata Citaglobal dalam kenyataan.
Ia menambah, kerjasama berkenaan turut disifatkan strategik kepada Citaglobal, sejajar dengan kekuatan teras tersendiri kumpulan tersebut dalam bidang tenaga, infrastruktur dan perkongsian serantau.
Terdahulu, Ibraey mengiringi Presidennya, Sadyr Zhaparov, yang menghadiri pertemuan dengan wakil syarikat Malaysia untuk meneroka kerjasama perniagaan dan peluang pelaburan kedua-dua negara.
Berdasarkan rekod sepanjang 2024, Kyrgyztan merupakan rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan dagangan dua hala bernilai RM40 juta (AS$8.74 juta).
Mengulas lanjut, Citaglobal berkata, pelaksanaan MOU itu turut selaras dengan strategi kumpulan itu untuk mengembangkan kehadirannya dalam sektor tenaga dan mengembangkan jejak antarabangsanya.
Citaglobal mula menceburi sektor RE pada Oktober 2022 melalui kerjasama dengan Genetec Technology Berhad untuk membangunkan sistem penyimpanan tenaga bateri. - DagangNews.com








