KUALA LUMPUR 31 Jan - Citaglobal Bhd membeli sebidang tanah pajakan seluas 0.64 hektar di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dengan wang tunai RM73 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Sinergy Dayang Sdn Bhd (SDSB) telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) pada 31 Januari 2025.
"Memandangkan kekurangan tanah komersil yang besar dan berkedudukan baik di Kuala Lumpur, Lembaga Pengarah yakin pengambilalihan ini memberikan peluang strategik untuk penciptaan nilai dan pertumbuhan jangka panjang," katanya.
Citaglobal berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka siap dalam tempoh 3 bulan bermula dari tarikh pemeteraian SPA.
“Pengambilalihan itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank daripada institusi kewangan.
"Cadangan pengambilalihan itu dijangka tidak menimbulkan sebarang faktor risiko yang boleh menjejaskan operasi perniagaan dan prestasi kewangan kumpulan.
"SDSB akan memastikan semua terma dan syarat yang ditetapkan dalam SPA dipenuhi dan cadangan pengambilalihan ini akan diselesaikan tepat pada masanya.
"Cadangan pengembalian itu dijangka tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, penggearan, modal saham dan pegangan saham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025," katanya. - DagangNews.com








