KUALA LUMPUR 4 Feb – Perbelanjaan modal terkawal (capex) Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka meningkat 25% tahun ke tahun (YoY) kepada RM15 bilion pada tahun kewangan 2026 (FY26), didorong terutamanya oleh lonjakan perbelanjaan capex bersyarat, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu berkata TNB berada di landasan untuk memenuhi panduan capex terkawal sebanyak RM12 bilion bagi FY25, dengan peningkatan ketara dalam capex asas dan capex bersyarat pada suku keempat 2025.
Menurut CIMB Securities, TNB dipercayai telah memuktamadkan proses kelulusan serta mekanisme pemulihan capex bersyarat bersama Suruhanjaya Tenaga, sekali gus membuka laluan untuk peningkatan capex bersyarat kepada sekitar RM6 bilion pada FY26, berbanding hanya RM1 hingga RM2 bilion pada FY25.
“Dengan mengambil kira capex asas sebanyak RM9 bilion, kami kini mengunjurkan capex terkawal FY26 meningkat 25% YoY kepada RM15 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagi FY27 pula, CIMB Securities mengekalkan anggaran capex terkawal TNB pada RM12 bilion. Secara keseluruhan, jumlah capex terkawal bagi Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) kini dianggarkan mencecah RM39 bilion, mencerminkan keterlihatan yang lebih jelas terhadap projek capex bersyarat dan kemungkinan kadar perbelanjaan melebihi panduan asal 70%.
Dalam perkembangan berkaitan cukai, CIMB Securities memaklumkan bahawa TNB telah menyelesaikan perbincangan dengan pihak berkuasa berhubung pemulihan “adil” bagi RM10.6 bilion cukai tambahan yang dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tempoh FY03 hingga FY24 melalui tuntutan Elaun Pelaburan di bawah Jadual 7B.
Sehubungan itu, TNB dijangka mula menggunakan kredit cukai tersebut pada FY25, sekali gus menurunkan kadar cukai efektif kepada 26%, lebih rendah berbanding panduan awal syarikat sebanyak 30%.
Bagaimanapun, pemulihan cukai itu dijangka berlaku secara berperingkat dalam tempoh panjang, antara 10 hingga 20 tahun, tanpa penurunan mendadak kadar cukai. Kadar cukai efektif diunjurkan kekal pada 26% bagi FY26 sebelum berkurang kepada 25% pada FY27 dan 24% mulai FY28 hasil inisiatif pengoptimuman cukai.
CIMB Securities mengekalkan saranan BELI ke atas saham TNB dengan harga sasaran RM15.10, meskipun menurunkan penilaian susulan semakan unjuran hutang bersih FY25 bagi mengambil kira anggaran RM7 bilion cukai tambahan. - DagangNews.com








