Chin Hin labur RM48 juta dalam saham tersenarai dengan melepasi ambang 5% aset bersih disatukan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin labur RM48 juta dalam saham tersenarai dengan melepasi ambang 5% aset bersih disatukan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 JulaiChin Hin Group Berhad mengesahkan nilai terkumpul pelaburannya dalam sekuriti disebut harga kini sudah melepasi ambang 5% daripada aset bersih disatukan teraudit.

 

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, situasi berkenaan sekali gus mencerminkan strategi syarikat mengembangkan portfolio pelaburan dalam pasaran modal tempatan.

 

Ujarnya, nilai agregat pembelian sekuriti disebut harga yang belum diumumkan bagi tempoh 12 bulan terdahulu mencapai RM47.83 juta, atau 5% daripada aset bersih disatukan setakat 31 Disember 2025.

 

"Pengumuman ini selaras Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, mewajibkan syarikat tersenarai membuat pendedahan apabila nilai pelaburan melepasi paras ditetapkan," jelas Chin Hin.

 

Menurutnya, sepanjang tempoh 12 bulan tersebut, syarikat berkenaan tidak pernah merekodkan sebarang pelupusan sekuriti disebut harga, dengan nilai agregat hasil jualan adalah kekal sebagai sifar.

 

Tambah kumpulan tersebut, setakat 27 Julai 2026, jumlah pelbagai kos pelaburan sekuriti disebut harga yang masih lagi dipegang oleh syarikat berkenaan adalah mencecah sebanyak RM47.83 juta.

 

Chin Hin_DagangNews2026

 

Bagaimanapun kata Chin Hin, nilai buku portfolio itu berjumlah RM47.32 juta, manakala nilai pasaran semasa dicatatkan ialah RM46.73 juta, menunjukkan penyusutan kecil berbanding kos pemerolehan.

 

"Tiada keuntungan atau kerugian direkodkan daripada pelupusan sekuriti bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 kerana syarikat tidak melaksanakan transaksi jualan dalam tempoh itu," ujarnya.

 

Syarikat tersebut turut menambah, kesemua pemerolehan sekuriti yang terlibat dalam pengumuman berkenaan dilakukan secara berperingkat-peringkat antara 14 Oktober 2025 hingga 27 Julai 2026.

 

Langkah pengekalan keseluruhan pegangan menunjukkan Chin Hin masih memilih pendekatan pelaburan jangka panjang, walaupun nilai pasaran portfolio ketika ini berada sedikit di bawah kos pembelian.

 

Kenyataan itu tidak mendedahkan identiti sekuriti yang dibeli, namun pemakluman kepada Bursa Malaysia dibuat selepas nilai pelaburan terkumpul melepasi ambang pelaporan yang ditetapkan.

 

"Sehubungan itu, penjelasan ini sebagai memenuhi keperluan penyenaraian, sekali gus memastikan ketelusan kepada pemegang saham dan pelabur," tambahnya. - DagangNews.com