Chin Hin, Jiangsu Teeyer bina kilang ketiga hasilkan bahan binaan lestari di Serendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin, Jiangsu Teeyer bina kilang ketiga hasilkan bahan binaan lestari di Serendah

Gambar/FB CHIN HIN GROUP Berhad
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jun - Chin Hin Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Starken AAC Sdn Bhd (SAAC), menjalin kerjasama dengan Jiangsu Teeyer Intelligent Equipment Co Ltd dari China, bagi membangunkan kilang ketiga pengeluaran konkrit berudara autoklaf (AAC) di Serendah, Selangor. 

 

Kerjasama itu bertujuan menambah kapasiti pengeluaran bahan binaan mesra alam untuk memenuhi permintaan yang semakin tinggi.

 

Kilang baharu itu akan dibina bersebelahan kilang sedia ada di Serendah dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 31 Mei 2026. 

 

Ia akan menambah lebih 1 juta meter padu kepada kapasiti pengeluaran tahunan kumpulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Chin Hin bagi bahagian bahan binaan, Ng Wai Luen berkata, kerjasama tersebut adalah langkah penting untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran syarikat dan menguatkan daya saing di pasaran.

 

"Chin Hin dan Jiangsu Teeyer berkongsi matlamat untuk memenuhi permintaan bahan binaan berkualiti dan mesra alam di Malaysia dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jiangsu Teeyer, yang disenaraikan di Bursa Saham Shanghai dengan nilai pasaran RM2.3 bilion, terkenal dengan kepakaran dalam sistem pengeluaran AAC. 

 

Ia telah mengeksport hampir 150 barisan pengeluaran ke lebih 20 negara dalam tempoh 35 tahun operasi.

 

Jiangsu Teeyer juga adalah perintis yang memperkenalkan sistem pengurusan MES dan mesin pemotong AAC buatan tempatan pertama di China.

 

Chin Hin kini memiliki dua kilang AAC dengan kapasiti gabungan sekitar 1.2 juta meter padu setahun. 

 

Dengan pembinaan kilang ketiga itu, kapasiti keseluruhan akan meningkat kepada lebih 2.2 juta meter padu setahun.

 

Langkah tersebut menunjukkan komitmen Chin Hin terhadap inovasi dan pembangunan mampan, serta mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai peneraju dalam industri bahan binaan di Malaysia. - DagangNews.com