CGS International lancar ELIN-i dan AESIN-i, produk pelaburan berstruktur Islamik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS International lancar ELIN-i dan AESIN-i, produk pelaburan berstruktur Islamik

Rushdan Nadzir (kiri) bersama Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (tengah) dan Khairi Shahrin Arief Baki (kanan) melancarka dua produk pelaburan berstruktur Islamik baharu CGS International.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - CGS International Securities Pte Ltd (CGS International), melalui anak syarikatnya di Malaysia, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS Malaysia) melancarkan dua produk pelaburan berstruktur Islamik iaitu Equity Linked Investment Notes (ELIN-i) dan Islamic Autocallable Equity Structured Investment Notes (AESIN-i).

 

Katanya, produk baharu itu disasarkan kepada pelabur sofistikated yang mencari peluang pelaburan patuh syariah dan intrumen itu merupakan produk berstruktur ekuiti Islamik pertama yang diperkenalkan di Malaysia. 

 

Menerusi pelancaran ELIN-i dan AESIN-i, CGS Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran modal tempatan, menggabungkan inovasi dengan pematuhan kepada prinsip kewangan Islam. 

 

Firma tersebut menekankan, produk itu direka bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap rumusan pelaburan yang relevan dengan pasaran, berpengurusan risiko, dan selari dengan matlamat kewangan serta nilai-nilai agama.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS Malaysia, Khairi Shahrin Arief Baki berkata, pihaknya terus memberi tumpuan kepada penyampaian rumusan pelaburan yang relevan dengan pasaran dan masa hadapan, memenuhi selera pelabur yang semakin meningkat di Malaysia yang mencari alternatif kepada instrumen dan aset konvensional.

 

"Pelabur sofistikated kini secara aktif berusaha untuk mempelbagaikan pelaburan mereka pada tahap risiko yang munasabah, dan pada masa yang sama, melabur selaras dengan nilai-nilai mereka. 

 

"Memandangkan sebahagian besar aset pasaran modal kita adalah patuh syariah dan terus berkembang dari semasa ke semasa, kami melihat peluang besar untuk inovasi produk dan menawarkan lebih banyak pilihan pelaburan kepada pelabur sofistikated tanpa mengira kepercayaan individu.

 

"Malaysia diiktiraf sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dengan sejarah yang panjang dan mendalam dalam bidang ini serta rangka kerja kawal selia yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Perkhidmatan Syariah Kumpulan CGS International, Rushdan Nadzir berkata, pelancaran produk-produk itu adalah sebagai lanjutan kepada portfolio syariah mereka yang semakin berkembang. 

 

Beliau berkata, dalam tempoh empat tahun yang lalu, pihaknya telah mengembangkan penawaran produk patuh syariah daripada dua kepada sepuluh bagi memenuhi keperluan pelanggan.

 

"Kedua-dua ELIN-i dan AESIN-i memanfaatkan warisan kukuh Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan Islam global serta keupayaan pelaburan CGS International bagi menawarkan alternatif kepada pelabur sofistikated untuk merebut peluang yang lebih luas dalam ekuiti dan syariah, tetapi dalam bentuk yang berstruktur," katanya.

 

ELIN-i dan AESIN-i menawarkan pendedahan berstruktur kepada ekuiti patuh syariah, yang direka khusus untuk pelabur sofistikated seperti pelabur bertauliah, individu bernilai bersih tinggi dan entiti bernilai bersih tinggi.

 

Pelabur juga boleh mendapat manfaat melalui pendapatan keuntungan tetap secara berkala, di mana kadar keuntungan yang ditawarkan adalah lebih tinggi berbanding deposit tetap Islamik tradisional, sambil menggabungkan struktur pembayaran yang khusus bagi memenuhi pelbagai tahap toleransi risiko dan pandangan pasaran. - DagangNews.com