CEO Ecobuilt Lim Chin Yen letak jawatan, Fong Tuck Yong diumum pengganti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CEO Ecobuilt Lim Chin Yen letak jawatan, Fong Tuck Yong diumum pengganti

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 21 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif Ecobuilt Holdings Bhd, Lim Chin Yen meletak jawatan selepas hanya empat bulan setengah menerajui syarikat pembinaan itu.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Lim, 48, meletak jawatan bagi “memberi lebih masa kepada keluarga dan mengejar minat peribadi”.

 

Tempat Lim kini digantikan oleh Fong Tuck Yong, 52, yang mula berkuat kuasa pada 20 Jun. Syarikat memaklumkan bahawa Fong mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam menerajui serta menyelia pelbagai projek pembinaan.

 

Ecobuilt terus mencatat kerugian tiga tahun berturut-turut. Bagi tahun kewangan berakhir 2024 (FY2024), syarikat mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM44.5 juta, berbanding RM31.1 juta pada FY2023 dan RM13.6 juta pada FY2022, menurut laporan tahunan syarikat itu.

 

Keputusan FY2024 merangkumi tempoh kewangan selama 15 bulan – dari 1 Jun 2023 hingga 31 Ogos 2024 – susulan perubahan tahun kewangan syarikat daripada 31 Mei kepada 31 Ogos.

 

Syarikat terus berada dalam kedudukan rugi untuk suku terkini. Bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2025 (2QFY2025), Ecobuilt mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM584,000 dengan hasil pendapatan RM15.48 juta. Tiada perbandingan tahun ke tahun bagi suku ini memandangkan perubahan dalam tahun kewangan syarikat.

 

Menurut syarikat, keuntungan kasar yang dijana daripada projek-projek yang sedang berjalan masih belum mencukupi untuk menampung kos operasi – yang sebahagian besarnya melibatkan susut nilai aset dan kos kakitangan.

 

Pada penutupan dagangan hari Jumaat, saham Ecobuilt meningkat setengah sen atau 20% kepada tiga sen sesaham, sekali gus meletakkan nilai pasaran kumpulan sekitar RM13 juta. Bagaimanapun, saham syarikat telah merosot sebanyak 54% sepanjang tempoh setahun lalu. - DagangNews.com