KUALA LUMPUR 6 Mac - CelcomDigi Bhd bekerjasama dengan Aduna, untuk membantu pembangun di seluruh dunia menggunakan rangkaian mudah alih sepenuhnya melalui Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) untuk mencipta teknologi baharu dengan lebih cepat.
Melalui kerjasama itu, CelcomDigi berhasrat untuk menggalakkan penggunaan API rangkaian biasa, memberi kuasa kepada pembangun dan perusahaan dengan keupayaan rangkaian maju berskala global.
CelcomDigi akan menawarkan akses tanpa halangan kepada pembangun bagi rumusan API rangkaian yang dipertingkatkan seperti Perkhidmatan Pengesahan Nombor dan Tukar SIM, membuka kemungkinan baharu untuk mengurangkan penipuan, meningkatkan keselamatan dan penyambungan tanpa gangguan.
Aduna menggabungkan dan menjual API rangkaian di seluruh dunia, membolehkan aplikasi baharu berfungsi di mana-mana sahaja dan di mana-mana rangkaian, membuka jalan bagi pembangun untuk berinovasi dengan lebih cepat dan mudah.
Rangkaian API membuka peluang baharu kepada industri telekomunikasi dan ciri-cirinya yang mudah diakses memberi kuasa kepada pembangun mengguna pakai protokol itu untuk dalam pelbagai sektor.
Timbalan CEO CelcomDigi, Albern Murty berkata, pihaknya komited untuk mencipta ekosistem digital 5G-AI yang mendorong inovasi dan memperbaiki pengalaman digital.
"Kerjasama kami dengan Aduna memperkukuhkan komitmen ini dengan menyediakan pembangun dan perusahaan akses langsung kepada keupayaan rangkaian maju.
"Dengan merapatkan sambungan global bersama landskap digital Malaysia, kami sedang menyediakan peluang era baharu inovasi perkhidmatan, menjadikannya lebih mudah bagi perniagaan untuk membina, mengembangkan dan melaksanakan rumusan digital baharu yang memberi manfaat kepada pelanggan di seluruh negara," katanya seperti dilaporkan The Sun.
MoU antara dua pihak tersebut ditandatangani di Mobile World Congress 2025 di Barcelona, Sepanyol oleh Murty dan Ketua Pegawai Eksekutif Aduna, Anthony Bartolo.
Sementara itu, Bartolo berkata, Aduna berada di barisan hadapan inovasi teknologi dan dengan menawarkan pembangun akses kepada keupayaan rangkaian yang boleh diprogramkan melalui API yang standard, mereka memberi kuasa kepada inovasi pada skala hiperskala global.
"Kerjasama kami dengan CelcomDigi, pengendali mudah alih utama di Malaysia, akan mengukuhkan visi ini.
"Perkongsian ini akan mencipta ekosistem yang luas, menyediakan pengendali telekomunikasi dan pembangun dengan akses tanpa tandingan kepada API rangkaian yang disatukan di seluruh rangkaian rakan kongsi, mendorong penggunaan meluas dan inovasi di rantau ini," jelasnya.
Dengan menyertai inisiatif global Aduna, CelcomDigi mengukuhkan peranannya sebagai pemudahcara teknologi, menggunakan rangkaian kukuh dan kepakarannya untuk memacu peralihan digital. - DagangNews.com








