CBH Engineering peroleh kontrak sistem elektrik pusat data bernilai RM194.65 juta di Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CBH Engineering peroleh kontrak sistem elektrik pusat data bernilai RM194.65 juta di Selangor

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Ogos — CBH Engineering Holding Berhad (CBHB) memperoleh kontrak terbaharu untuk pemasangan sistem bekalan elektrik bagi sebuah pusat data di Selangor bernilai RM194.65 juta.

 

Kumpulan kejuruteraan elektrik tersebut berkata, ia melibatkan anak syarikatnya, CBH Engineering Sdn Bhd, menerusi surat tawaran bertarikh 1 Ogos 2025 yang baru sahaja diterima mereka pada hari ini.

 

Bagaimanapun, CBHB tidak mendedahkan nama pelanggannya itu dan hanya merujuk sebagai Company A berdasarkan kepada satu perjanjian yang dimeterai untuk mengawal kerahsiaan syarikat berkenaan.

 

"Kontrak ini meliputi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem bekalan elektrik untuk sebuah stesen kecil 275kV dibina di Selangor," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Skop kerja CBH Engineering tambahnya, terdiri daripada membekal, mendirikan, memasang, menguji dan mentauliahkan semua peralatan pencawang dan kerja berkaitan untuk sistem bekalan tenaga tersebut.

 

CBHB berkata, tempoh kontrak berkenaan berkuat kuasa dari tarikh penerimaan tender oleh CBH Engineering iaitu 5 Ogos 2025 sehingga tarikh penyiapan disasarkan menjelang 31 Disember 2026.

 

Selain itu katanya, kontrak tersebut tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham yang diterbitkan, dan tidak menjejaskan semua pemegang saham pemegang saham utama syarikat berkenaan.

 

"Perolehan kontrak ini namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan, pendapatan sesaham, aset bersih dan penggearan syarikat sepanjang tempoh kontrak," kata CBHB.

 

Selain daripada risiko operasi biasa yang boleh ditangani mereka sendiri, Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan tidak mengetahui sebarang faktor risiko lain yang mungkin timbul daripada kontrak itu.

 

Pada masa sama katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama syarikat atau individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak.

 

Tambahnya, Lembaga Pengarah, selepas mempertimbangkan semua aspek, berpendapat bahawa penerimaan kontrak adalah dalam perjalanan biasa perniagaan dan demi kepentingan syarikat. - DagangNews.com