Caruman KWSP 2% kepada pekerja asing dilihat positif, memberi kesan kecil terhadap pendapatan sektor perladangan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Caruman KWSP 2% kepada pekerja asing dilihat positif, memberi kesan kecil terhadap pendapatan sektor perladangan - RHB Research

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing yang diturunkan kepada 2% daripada cadangan awalnya iaitu 12% bakal memberi manfaat kepada sektor perladangan, kata RHB Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain daripada penyusutan kadar caruman KWSP, kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,700 sepatutnya memberi impak kecil sebanyak 2% kepada hasil tahunan syarikat perladangan.

 

Terdahulu, semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP.

 

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan mereka mengikut piawaian antarabangsa.

 

Dengan caruman KWSP pada 2%, RHB Research berkata, pekerja asing akan membawa pulang MYR1,666 (2% sehingga RM34 sebulan) berdasarkan semakan gaji minimum RM1,700. 

 

"Dengan mengandaikan penguatkuasaan kenaikan gaji sebanyak  RM1,700, syarikat perladangan juga perlu membayar kos tambahan sekurang-kurangnya RM34 sebulan kepada setiap pekerja," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pekerja asing biasanya dibayar dengan kadar yang lebih tinggi daripada dasar gaji minimum yang boleh meningkatkan kesan kepada pendapatan syarikat. 

 

"Jika majikan menampung caruman KWSP 2% pekerja dengan menaikkan gaji, kesan ke atas pendapatan mungkin lebih besar, berpotensi sekitar 4% sehingga 8% setahun," katanya. 

 

Walaupun perubahan kadar caruman KWSP kepada pekerja asing bakal memberi kesan positif kepada sektor perladangan, RHB Research berkata, tarikh penguatkuasaan dasar itu belum diumumkan.

 

Firma itu mengekalkan saranan "overweight" ke atas sector perladangan dengan pilihan utamanya SD Guthrie ("beli", harga sasaran (TP): RM5.55), Johor Plantations Group ("beli",TP:RM1.55) dan Sarawak Oil Palms ("beli",TP:RM4.15).  - DagangNews.com