Caruman 2% KWSP pekerja asing bermula Oktober 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Caruman 2% KWSP pekerja asing bermula Oktober 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Jun — Pekerja bukan warganegara perlu mencarum sebanyak 2 peratus daripada gaji bulanan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula dengan gaji Oktober 2025.


Agensi tabungan itu berkata, peraturan baharu itu akan meliputi semua pekerja warga asing di seluruh Malaysia yang mempunyai pasport dan pas kerja sah daripada pihak Jabatan Imigresen.


Bagaimanapun katanya, langkah berkenaan tidak meliputi pekerja dalam sektor pembantu rumah. Caruman KWSP untuk pekerja bukan warganegara Malaysia setakat ini masih lagi adalah pilihan. 

 

 

 

 

 


“Majikan dikehendaki mendaftarkan syarikat mereka dengan KWSP bagi memastikan peralihan lancar dan pematuhan perluasan perlindungan wajib caruman kepada pekerja," katanya dalam kenyataan.


Langkah mewajibkan caruman itu turut menandakan satu langkah penting ke arah menyokong agenda nasional memastikan perlindungan sosial untuk semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan.


KWSP berharap, usaha tersebut membolehkan pekerja asing mempunyai akses kepada perlindungan sosial, sekali gus memupuk ekuiti dan keadilan yang lebih besar dalam pasaran buruh tempatan.


“Pendaftaran majikan sudah boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP yang berhampiran di seluruh negara,” tambah agensi berkenaan.


Sejak pengumuman Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024 mengenai perluasan perlindungan KWSP mandatori kepada pekerja bukan warganegara, KWSP telah mengadakan lebih 30 sesi libat urus.


Ini membabitkan perbincangan bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan meliputi agensi kerajaan, majikan, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil pekerja asing bagi mendapatkan maklumat terperinci.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ketika pembentangan belanjawan tersebut memberi jaminan pelaksanaan caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing dilaksanakan secara berperingkat.


Kumpulan industri pula menimbulkan kebimbangan terhadap dasar baharu buruh asing, serta memberi amaran langkah caruman itu akan meningkatkan kos buruh dan boleh menjejaskan daya saing Malaysia.


Ini termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia, yang meminta penangguhan dua tahun manakala Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, menekankan potensi beban kos pada sektor pembinaan. - DagangNews.com