Capricorn lihat Sarawak sebagai destinasi strategik pelaburan teknologi digital dan tenaga hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capricorn lihat Sarawak sebagai destinasi strategik pelaburan teknologi digital dan tenaga hijau

Jerome de Bontin (tengah), Timothy Ong (tiga dari kiri) dan delegasi Capricorn bergambar bersama Abang Johari (tiga dari kanan) serta pegawai-pegawai kerajaan Sarawak. Gambar/FB Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUALA LUMPUR 4 Feb - Kumpulan Pelaburan Capricorn dari Amerika Syarikat, menjadi pelabur antarabangsa terbaharu berminat meneroka peluang di Sarawak, terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan teknologi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak, Timothy Ong berkata, Capricorn bukanlah nama yang asing dalam dunia pelaburan teknologi.

 

"Syarikat itu merupakan antara pelabur awal dalam syarikat gergasi seperti Tesla dan SpaceX.

 

"Dengan pengalaman luas dalam bidang inovasi, mereka melihat Sarawak sebagai destinasi strategik untuk pelaburan yang berkaitan dengan tenaga hijau dan teknologi digital," katanya seperti laporan The Borneo Post.

 

Ong berkata demikian selepas mengiringi kunjungan pegawai-pegawai Capricorn yang bertemu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching, semalam.

 

Delegasi tersebut diketuai oleh rakan kongsi dan penasihat strategik Capricorn, Jerome de Bontin.

 

Menurut Ong, Abang Johari menyambut baik idea-idea yang dibawa oleh delegasi berkenaan.

 

Antara agenda utama yang dibincangkan adalah pembangunan pelan tindakan kemakmuran, tenaga boleh diperbaharui, serta potensi kerjasama dalam sektor semikonduktor dan taman digital di Sarawak.

 

Beliau juga berkata, Abang Johari mengarahkan supaya satu pertemuan susulan diadakan untuk memperincikan bentuk kerjasama yang boleh dijalin dengan Capricorn.

 

"Kedua-dua pihak turut membincangkan bagaimana Capricorn dapat menyokong pembangunan negeri dalam industri tenaga boleh diperbaharui, bateri dan angkasa lepas," ujarnya. - DagangNews.com