Capital A, Standard Chartered teroka pembangunan stablecoin denominasi ringgit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A, Standard Chartered teroka pembangunan stablecoin denominasi ringgit

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Dis – Landskap kewangan digital negara bakal memasuki fasa baharu apabila Capital A Berhad dan Standard Chartered Bank Malaysia Berhad menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk meneroka pembangunan dan pengujian stablecoin berdenominasi Ringgit (MYR) di bawah Hab Inovasi Aset Digital (DAIH) Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Usaha ini menandakan kemasukan sulung Capital A ke dalam ruang aset digital berperaturan, memanfaatkan kepakaran infrastruktur institusi Standard Chartered serta rangkaian perniagaan Capital A yang merentasi pelbagai industri.

 

Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat itu berkata, fokus utama inisiatif ini ialah pembangunan kaedah penggunaan borong (wholesale use cases) yang boleh menyokong operasi kewangan masa depan.

 

Di bawah kerjasama ini, Standard Chartered Malaysia dijangka bertindak sebagai pengeluar stablecoin MYR untuk menguji dan membangunkan inovasi tersebut, manakala Capital A bersama rangkaian syarikatnya akan menerajui pembangunan serta ujian aplikasi dunia sebenar yang berpotensi diguna pakai secara meluas.

 

Inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk menggalakkan inovasi aset digital secara bertanggungjawab, termasuk mengukuhkan kecairan dalam negara, meningkatkan kecekapan operasi dan membuka jalan kepada perkhidmatan kewangan generasi seterusnya.

 

DAIH BNM bertindak sebagai platform kolaborasi antara regulator dan industri bagi menguji penyelesaian inovatif, sekali gus membantu pembentukan rangka kerja kawal selia yang lebih mantap bagi sektor aset digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata LOI tersebut merupakan satu lagi langkah penting dalam transformasi kumpulan daripada pemain penerbangan kepada ekosistem digital yang lebih menyeluruh.

 

“Stablecoin MYR yang dibangunkan bersama Standard Chartered dan diuji di bawah DAIH mampu membuka potensi sebenar untuk operasi kami – daripada penyelesaian masa nyata hingga pengurusan perbendaharaan yang lebih cekap,” katanya sambil menambah bahawa Capital A mampu memperkenalkan kes penggunaan berskala besar kepada rakyat Malaysia dan rantau ASEAN.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien, menegaskan komitmen bank itu untuk memacu inovasi kewangan.

 

“Sebagai bank tertua di Malaysia, kami konsisten menyokong evolusi sistem kewangan negara. Penyertaan ke dalam kotak pasir stablecoin ini mencerminkan komitmen kami terhadap pembangunan ekonomi digital dan keterangkuman kewangan,” katanya.

 

Dengan LOI dimeterai, kedua-dua pihak kini akan menjalankan penilaian teknikal, kawal selia dan komersial bagi memastikan inisiatif ini dapat digerakkan secara bertanggungjawab di bawah kerangka DAIH.

 

Cadangan pembangunan stablecoin MYR ini turut memperkukuh misi Capital A untuk menawarkan pengalaman yang lebih pantas, pintar dan tersambung dalam seluruh ekosistemnya, di samping melengkapi strategi Standard Chartered yang melihat aset digital sebagai komponen kekal dalam masa depan perkhidmatan kewangan. - DagangNews.com