KUALA LUMPUR 5 Dis - Capital A Bhd menjangkakan penyatuan perniagaan penerbangannya ke AirAsia X Bhddan keluar daripada status Practice Note (PN17) dapat diselesaikan menjelang akhir bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata kumpulan itu telah memfailkan permohonan ke mahkamah bagi pengurangan modal Capital A dan penetapan harga saham AirAsia Aviation.
“Kami sudah hampir ke penghujungnya,” kata Fernandes kepada para wartawan selepas mengumumkan kemas kini polisi uniform kru kabin kumpulan itu, yang akan membenarkan kru kabin wanita memakai hijab ketika bertugas sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.
Pada akhir Oktober, Capital A berkata semua syarat untuk penstrukturan semula penerbangan telah dipenuhi atau diketepikan, membolehkan semua syarikat penerbangan berjenama AirAsia disatukan di bawah AirAsia X, satu langkah penting bagi Capital A untuk keluar daripada status PN17.
Kumpulan itu berkata perjanjian jual beli saham bagi cadangan pelupusan telah menjadi tanpa syarat berkuat kuasa 29 Okt.
Tarikh akhir penyempurnaan telah dilanjutkan sekurang-kurangnya enam kali — dari tarikh asal 25 Jan 2025 kepada 25 Mac, kemudian 31 Mei, 31 Julai, 31 Ogos, 30 Sept dan terbaru 31 Okt — bagi memberi masa tambahan mendapatkan kelulusan yang diperlukan.
Mengenai polisi baharu uniform kru kabin, Fernandes berkata pelaksanaannya, yang dirancang pada suku pertama 2026 bersempena bulan Ramadan, adalah langkah untuk memastikan kru kabin berasa selesa dan yakin mewakili AirAsia di mana sahaja mereka terbang.
“Kami akan memberikan pilihan kepada kru kabin wanita, jika mereka mahu, untuk memakai hijab. Saya rasa kami akan menjadi syarikat penerbangan pertama di ASEAN yang berbuat demikian. Ia adalah pilihan,” tambahnya.
Pakaian seragam merah ikonik AirAsia akan kekal tidak berubah, dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional mengekalkan reka bentuk sama seperti yang dipakai kru bagi laluan Jeddah.
Ini memastikan keselesaan, keselamatan dan keseragaman jenama di seluruh rangkaian. - BERNAMA








