Cahya Mata Sarawak mulakan prosiding timbang tara terhadap Vienna Advantage berhubung pelanggaran kontrak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cahya Mata Sarawak mulakan prosiding timbang tara terhadap Vienna Advantage berhubung pelanggaran kontrak

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Feb - Cahya Mata Sarawak Bhd mengumumkan, anak syarikat penuhnya, Cahya Mata Intelligent Technologies Sdn Bhd, telah memulakan prosiding timbang tara terhadap Vienna Advantage GmbH berhubung pertikaian kontrak.

 

Pertikaian itu berkaitan dakwaan kegagalan Vienna Advantage untuk membekalkan dan melaksanakan perancangan sumber perusahaan serta perkhidmatan berkaitan yang dipersetujui di bawah beberapa perjanjian yang ditandatangani antara Julai 2019 dan November 2023.

 

"Disebabkan pelanggaran perjanjian induk oleh Vienna Advantage, Cahya Mata IT telah mengalami kerugian dan masalah.

 

"Timbang tara ini dijangka tidak memberi sebarang kesan berpotensi kepada perniagaan, kewangan atau operasi kami," kata kumpulan dalam satu pemfailan bursa.

 

Pemfailan tersebut bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut. - DagangNews.com