KUALA LUMPUR 1 Ogos — Cadangan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membina pautan Sistem Transit Pantas (RTS) kedua dijangka perkukuh aktiviti rentas sempadan antara Johor dan Singapura.
Projek sambungan itu yang disyorkan menghubungkan Iskandar Puteri dan Tuas di negara jiran tersebut adalah petunjuk kukuh rancangan jangka panjang negeri berkenaan untuk infrastruktur rel rentas sempadan.
Menurut RHB Research, cadangan baharu itu menunjukkan komitmen tinggi kepimpinan Johor sendiri menjayakan pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) agar cepat berkembang maju.
"Walaupun ia mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya satu dekad untuk menjadi kenyataan jika ada, kami optimis dengan prospek jangka panjang di kawasan Iskandar Puteri," katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan tersebut menambah, idea itu disuarakan Onn Hafiz dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong baru-baru ini, bagi meningkatkan mobiliti rentas sempadan di JS-SEZ.
Meskipun tiada perincian dan maklum balas lanjut yang disiarkan dalam laporan media, ia berpendapat yang cadangan itu tetap positif untuk prospek pertumbuhan jangka panjang koridor Iskandar Malaysia sendiri.
Ini terutamanya pembangunan yang terletak berhampiran Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) yang merupakan lebuh raya sepanjang 44 kilometer dan jambatan terus menuju ke Tuas di Singapura.
"Kami memuji idea untuk mewujudkan RTS kedua namun tidak menjangkakan apa-apa kemajuan yang ketara mengenai perkara ini dalam jangka masa sederhana tetapi berharap ia diteruskan," kata RHB Research.
Cadangan Menteri Besar itu tambahnya, menunjukkan rancangan infrastruktur jangka panjang negeri berkenaan untuk memastikan Iskandar Malaysia dapat dihubungkan menerusi perkhidmatan rel pantas.
Ia merujuk RTS pertama antara Johor Bahru-Woodlands yang diketengahkan awal 2000-an dan mengambil masa dua dekad menjadi kenyataan, apabila trafik harian di Tambak Johor mencecah 300,000 orang.
RHB Research dalam nada optimis yakin untuk tempoh jangka panjang, trafik harian di LinKedua meningkat daripada 165,000 orang, memandangkan Iskandar Puteri menyaksikan banyak aktiviti perindustrian.
"Kami fikir ia berpotensi dilakukan kerana projek itu akan dibina bersambungan RTS Link di Bukit Chagar, untuk mewujudkan keterlihatan yang baik pada jarak dekat dan akses kemudahan," katanya.
Ketika ini kata firma itu, harga jualan purata kediaman persendirian di Woodlands mencecah S$1,900 (kira-kira RM6,262) kaki persegi, disebabkan faktor jarak dengan stesen RTS hanya empat kilometer.
Bagaimanapun kata RHB Research, jika projek RTS kedua itu menjadi kenyataan, ia akan menggalakkan permintaan perumahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan Singapura. - DagangNews.com








