Cabaran pelaksanaan himpit sektor tenaga boleh diperbaharui, namun peluang masih cerah - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cabaran pelaksanaan himpit sektor tenaga boleh diperbaharui, namun peluang masih cerah - Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Sept – Saham-saham sektor tenaga boleh diperbaharui, khususnya pemain Engineering, Procurement, Construction and Commissioning (EPCC) solar, dijangka terus mencuri tumpuan menjelang tahun 2026. 

 

Namun firma penyelidikan Kenanga Research memberi amaran cabaran pelaksanaan dan ketidaktentuan margin semakin mencabar walaupun prospek pertumbuhan kekal positif.

 

Firma itu menegaskan risiko pelaksanaan semakin meningkat didorong oleh beberapa faktor utama, antaranya kebergantungan tinggi kepada subkontraktor, yang boleh menjejaskan kawalan kos dan mutu kerja.

 

Selain itu, turun naik harga panel solar dan potensi kelewatan dari segi penyambungan grid dan kelulusan teknikal, terutamanya bagi projek berskala besar seperti LSS juga boleh memberi kesan langsung kepada margin keuntungan.

 

“Walaupun pasaran EPCC terus berkembang, margin keuntungan dijangka tertekan sekiranya pemain tidak dapat mengurus risiko dengan berkesan,” katanya dalam nota penyelidikan terkini.

 

Menurut Kenanga lagi, pasaran juga menantikan pengumuman Belanjawan 2026 yang dijangka memberi kejelasan lanjut berhubung beberapa perkara seperti struktur skim dan agihan kuota LSS6 dan pelaksanaan lebih meluas inisiatif Solar ATAP untuk sektor komersial dan domestik.

 

"Dasar baharu yang bakal mewajibkan penggunaan sistem penyimpanan tenaga (BESS) bagi semua loji solar mulai 2026 – langkah penting untuk mengurangkan tekanan ke atas grid nasional," ujarnya lagi.

 

Firma itu berpandangan penguatkuasaan BESS akan membuka ruang baharu bagi syarikat yang mampu menyediakan penyelesaian teknologi berskala dan cekap kos.

 

Menurut Kenanga, dalam landskap yang kian kompetitif, hanya syarikat yang mempunyai akses kepada modal besar dan model perniagaan yang mampu diskalakan mampu bertahan dan menyerlah.

 

Dalam konteks ini firma itu masih mengekalkan tahap 'OVERWEIGHT" kepada saham-saham sektor ini dengan meletakkan dua syarikat disenaraikan sebagai saham pilihan utama iaitu Solarvest Holding Bhd dan KJTS Group Bhd.

 

Katanya Solarvest, kukuh dari segi kedudukan pasaran dan rekod prestasi pelaksanaan, mempunyai buku pesanan dan tender yang besar, memberikan keterlihatan pendapatan yang mampan.

 

Program pembiayaan sistem PV terus menjadi nilai tambah kepada pelanggan dan menjana pendapatan berulang.

 

KJTS pula satu-satunya pemain tersenarai dalam sektor tenaga cekap (energy efficiency) di Malaysia dengan fokus kepada pasaran penyejukan tenaga bernilai RM41 bilion yang sedang berkembang pesat akibat perubahan regulasi.

 

Perjanjian usaha sama bernilai RM1.5 bilion dengan Stonepeak membolehkan KJTS menawarkan model "cooling-as-a-service", sekali gus menyelesaikan masalah capex pelanggan dan menjana pendapatan berulang dengan pulangan IRR dua angka pertengahan (mid-teens).

 

“Pivot KJTS daripada model EPCC tradisional kepada perkhidmatan berasaskan langganan adalah perubahan struktur yang boleh membawa rerating dalam jangka sederhana,” kata Kenanga lagi. - DagangNews.com