KUALA LUMPUR 30 Mac - Bursa Malaysia dibuka rendah ketika dagangan dibuka pagi ini, menjejaki kejatuhan pasaran Amerika Syarikat pada Jumaat lalu ketika harga minyak melonjak melepasi paras AS$115 setong.
Sentimen global kekal tidak menentu apabila harga saham di Amerika Syarikat terus susut ke dalam wilayah pembetulan.
“Paras harga minyak yang tinggi, digabungkan dengan pengukuhan dolar AS susulan jangkaan dasar Rizab Persekutuan yang lebih agresif, telah memberi tekanan kepada mata wang serantau dan selera risiko,” kata Apex Research dalam ulasan pasarannya.
Pada Isnin, penanda aras FBM KLCI dibuka menurun ke paras 1,702.08; susut 10.57 mata berbanding penutupan Jumaat lalu.
Maybank turun 10 sen kepada RM11.36, Sunway susut 15 sen kepada RM5.32 manakala IHH merosot 13 sen kepada RM8.92.
Press Metal, PETRONAS
Hanya beberapa saham mencatatkan kenaikan, namun Press Metal menyerlah dengan lonjakan 38 sen ke paras tertinggi sepanjang masa RM7.99. PETRONAS Chemicals turut mencatat prestasi kukuh dengan kenaikan 13 sen kepada RM5.93.
Dalam laporannya, Apex menjangkakan potensi kenaikan ekuiti Malaysia kekal terhad dalam persekitaran semasa, dengan kelemahan ringgit melepasi paras 4.00 serta aliran keluar dana asing yang berterusan.
Bagaimanapun, saham berkaitan tenaga negara dijangka terus disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi.
“Kami menggemari sektor tenaga susulan ketegangan di Timur Tengah, dengan segmen huluan minyak dan gas mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi, sekali gus menyokong pendapatan jangka pendek.
“Sektor perladangan mungkin menerima sokongan tidak langsung daripada permintaan biofuel yang lebih kukuh, manakala utiliti defensif kekal menarik apabila pelabur mencari kestabilan dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu,” kata Apex. - DagangNews.com








