KUALA LUMPUR 16 Julai — Keuntungan bersih Bursa Malaysia bagi suku kedua 2025 dijangka berada pada bahagian bawah unjuran CIMB Securities dan konsensus tahun kewangan penuh 2025 (FY25).
Firma penyelidikan itu menganggarkan keuntungan bersih suku tahunan pengendali bursa itu mungkin antara 44.7 peratus dan 47.3 peratus daripada unjuran setahun penuhnya sebanyak RM265.2 juta.
Katanya, Bursa Malaysia diunjur melaporkan keuntungan bersih 2QFY25 sebanyak RM58 juta, penurunan suku ke suku (QoQ) sebanyak 24.4 peratus dan kejatuhan kira-kira 36.6 peratus tahun ke tahun (YoY).
Perkembangan tersebut menurut CIMB Securities, menjadikan keuntungan bersih terkumpul pada separuh pertama 2025 (1HFY25) kepada RM125.6 juta, yang menandakan penyusutan YoY sebanyak 23.8 peratus.
"Walaupun keputusan mungkin kurang daripada anggaran konsensus kami, ia secara am selaras dengan jangkaan, kerana kami menjangkakan keuntungan bersih 2QFY25 yang lebih lemah," katanya dalam nota.
Kemerosotan berkenaan tambah firma itu, berikutan aktiviti dagangan yang lebih rendah dan didorong oleh sentimen pasaran cukup berhati-hati berikutan pengumuman tarif baharu Amerika Syarikat (AS).
CIMB Securities menjangkakan 2HFY25 yang lebih baik, disokong pemulihan dalam purata nilai dagangan harian (ADV) apabila ketidaktentuan pasaran mulai reda dengan kejelasan dasar mengenai isu tarif.
"Ramalan 2QFY25 kami mengandaikan nisbah kos kepada pendapatan iaitu 57 peratus, melebihi sasaran 50 peratus Bursa Malaysia, disebabkan hasil rendah dan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi," katanya.
Selain itu tambahnya, hasil operasi Bursa Malaysia diunjur menurun kepada antara RM153.4 juta dan RM162.9 juta, menandakan penurunan QoQ sebanyak 13.7 peratus dan penguncupan YoY pula 20.8 peratus.
Penurunan ini kata CIMB Securities disebabkan oleh sumbangan hasil dagangan lebih rendah daripada segmen sekuriti dan derivatif dengan sekuriti ADV akan menyederhana kepada RM2.4 bilion pada 2QFY25.
"Penurunan dalam aktiviti dagangan sebahagian besarnya mencerminkan penghindaran risiko yang semakin tinggi dalam kalangan pelabur di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran," kata firma berkenaan lagi.
Pelabur tambahnya lebih berwaspada berikutan pengumuman tarif AS pada 2 April 2025, meningkatkan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan dan kesannya ke atas pertumbuhan ekonomi global.
Dalam segmen derivatif, CIMB Securities berkata, purata kontrak harian (ADC) pada 2Q25 diunjurkan menurun sebanyak 11.3 peratus QoQ tetapi mampu meningkat 5.9 peratus YoY kepada 90,669 kontrak.
"Penurunan QoQ didorong oleh pengurangan aktiviti dagangan dalam Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (turun 10.1 peratus) dan Niaga Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (turun 12.7 peratus)," katanya.
Ia juga menyatakan bahawa kelembapan keseluruhan dalam dagangan mencerminkan pendirian yang lebih berhati-hati dalam kalangan peniaga di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran semakin tinggi.
Secara keseluruhannya, CIMB Securities telah mengekalkan penarafan 'pegang' di Bursa Malaysia, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM7.40 sesaham. - DagangNews.com








