Bursa Malaysia diiktiraf antara 50 syarikat senaraian awam terbaik ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia diiktiraf antara 50 syarikat senaraian awam terbaik ASEAN

FAD’L Mohamed (tengah), menerima anugerah 50 PLC ASEAN Terbaik daripada Pengerusi Kumpulan Kerja Tadbir Urus Korporat ACMF serta Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Filipina, Francisco Edralin Lim (kiri) disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Dr Ismet Yusoff (kanan).
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Bursa Malaysia Berhad memperoleh pengiktirafan sebagai salah satu daripada 50 Syarikat Senaraian Awam (PLC) Terbaik ASEAN dan juga antara lima PLC yang terbaik di Malaysia.

 

Pengiktirafan tersebut diumumkan pada Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN anjuran oleh sebuah badan penarafan domestik Malaysia dikenali sebagai Kumpulan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti (MSWG).

 

Program yang disifatkan berprestij berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, di ibu negara pada malam tadi.

 

"Anugerah itu mengiktiraf PLC ASEAN yang menunjukkan kecemerlangan dalam tadbir urus, berdasarkan Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) 2024 yang ketat," kata Bursa Malaysia dalam kenyataan.

 

Tambahnya, ACGS merupakan inisiatif peringkat serantau di bawah Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), yang dibangunkan dengan mendapat kerjasama erat daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) sendiri.

 

Usaha tersebut akan menilai, meningkatkan dan menggalakkan tadbir urus korporat dalam kalangan PLC merentasi enam negara ASEAN yang mengambil bahagian untuk pengiktirafan peringkat Asia Tenggara.

 

ACGS juga menyumbang kepada pertumbuhan dan daya tarikan ASEAN kepada pelabur serta dijalankan setiap dua tahun untuk mengiktiraf PLC yang berprestasi tinggi dengan piawaian antarabangsa.

 

Bursa
FAD’L Mohamed (tengah) menerima anugerah untuk 5 PLC Terbaik di Malaysia daripada Pengerusi MSWG, Datuk Mohd Nasir Ali (kiri), disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Dr Ismet Yusoff, (kanan).

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Farid Alias dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Fad’l Mohamed serta Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Dr Ismet Yusoff, turut hadir pada majlis berkenaan.

 

Sementara itu, Fad’l berkata, pihaknya berbesar hati apabila diiktiraf sekali lagi pada Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN, yang mencerminkan kepimpinan dan komitmen berterusan Bursa Malaysia.

 

"Kami akan terus menegakkan standard tertinggi ketelusan dan akauntabiliti serta tadbir urus korporat yang kukuh adalah asas kepada pasaran modal berdaya tahan dan dipercayai," katanya.

 

Ia juga katanya, sentiasa aktif memperjuangkan kecemerlangan tadbir urus baik dalam bursa itu dan merentasi ekosistem sebagai asas utama untuk keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi mampan.

 

Pengiktirafan itu tambah beliau, menunjukkan rangka kerja dan amalan tadbir urus Bursa Malaysia yang kukuh, dengan tumpuan pada ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan lembaganya. - DagangNews.com