KUALA LUMPUR 6 Feb — Pasaran ekuiti Bursa Malaysia memulakan tahun ini dengan prestasi kukuh apabila mencatat aliran masuk bersih asing yang berjumlah RM1.0 bilion sepanjang Januari 2026.
Menurut analisis Maybank Investment Bank (Maybank IB) hari ini, perkembangan yang stabil tersebut disokong oleh faktor peningkatan ketara aktiviti dagangan dan prestasi positif indeks utama.
Firma penyelidikan itu berkata, purata nilai dagangan harian (ADTV) melonjak kepada RM3.4 bilion, mengatasi semua paras bulanan pada 2025 dan merupakan yang paling tinggi sejak September 2024.
"Bagaimanapun, kami mendapati penyertaan bersih asing pula sebenarnya menyusut sedikit kepada sebanyak 37.2% berbanding kira-kira 40.2% pada Disember 2025," jelasnya dalam nota kajiannya itu.
Maybank IB seterusnya menjelaskan, kecenderungan minat para pelabur asing terus dilihat masih tertumpu kepada saham berwajaran tinggi khususnya Press Metal Berhad, Maybank dan Public Bank.
Sementara itu ujar firma berkenaan lagi, sektor hartanah muncul sebagai sektor yang berprestasi terbaik bagi Januari 2026, diikuti oleh sektor kewangan dan amanah pelaburan hartanah (REIT).
Dari sudut pasaran keseluruhan pula tambahnya, FBMKLCI meningkat 3.6% bulan ke bulan (MoM) pada Januari 2026, dengan tiga sektor mencatat prestasi mengatasi indeks penanda aras tersebut.
"Sebaliknya, sektor penjagaan kesihatan dikenal pasti sebagai sektor yang paling lemah bagi bulan berkenaan, manakala pegangan saham asing dalam pasaran Malaysia turut meningkat," kata Maybank IB.
Ia jelas firma penyelidikan itu didapati naik kepada 19.2% daripada jumlah permodalan pasaran, berbanding kira-kira 19.0% pada Disember 2025, mencerminkan pemulihan sentimen pelabur asing.
Katanya lagi, aktiviti dagangan turut dipacu oleh peningkatan penyertaan daripada institusi domestik kepada sebanyak 45.0%, manakala penyertaan runcit kekal stabil pada kira-kira 17.8%.
ADTV harian pula tambah Maybank IB, juga berjaya mencecah paras tinggi iaitu RM4.5 bilion pada 27 Januari 2026, sekali gus menunjukkan masih lagi terdapat trend minat pasaran yang semakin rancak.
"Dari segi aliran saham pula, Press Metal merupakan saham yang paling banyak dibeli oleh pelabur asing sepanjang dagangan bulan berkenaan, diikuti Maybank, AmBank, Public Bank dan IJM," jelasnya.
Bagaimanapun kata firma penyelidikan itu, Gamuda muncul sebagai saham yang paling banyak dijual oleh pelabur asing, diikuti Hong Leong Bank, IHH Healthcare, Tenaga Nasional Berhad dan Sunway.
Dalam konteks serantau, Maybank IB memaklumkan Malaysia, Filipina dan Thailand mencatat aliran masuk bersih asing dalam kalangan negara ASEAN-5, namun Indonesia dan Vietnam pula sebaliknya.
Dua negara jiran tersebut tambahnya, didapati merekodkan aliran keluar dana asing, masing-masing mencecah sebanyak AS$0.6 bilion (RM2.37 bilion) dan kira-kira AS$0.2 bilion (RM0.79 bilion).
Pasaran bon ringgit mencatat bulan ketiga berturut-turut aliran masuk dana asing, dengan tambahan RM3 bilion pada Disember 2025, menjadikan jumlah sepanjang suku keempat 2025 ialah RM13.5 bilion.
"Perkembangan aliran ini hampir mendorong pegangan asing ke paras rekod RM300.8 bilion, disokong jangkaan pelonggaran dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan pengukuhan ringgit," katanya.
Secara keseluruhannya, Maybank IB berpandangan momentum aliran masuk dana berpotensi berterusan jika jangkaan dasar monetari global dan kestabilan mata wang tempatan kekal positif. - DagangNews.com








