Bung Moktar meninggal dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bung Moktar meninggal dunia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Dis - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 1.46 pagi ini.

 

Perkara itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar, melalui satu hantaran di Facebook pagi ini.

 

“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

 

“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

 

Terdahulu Bung Moktar, 66, dimasukkan ke hospital itu dan menerima lawatan antaranya daripada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru-baru ini Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

 

Pada Pilihan Raya Umum ke-10 iaitu pada November 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.

 

Dilahirkan pada 15 Sept 1959 di Sukau, Kinabatangan, Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.

 

Sebelum bergiat aktif dalam politik, Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada tahun 1990 hingga 1992.

 

Kemudian, allahyarham dilantik sebagai setiausaha politik kepada menteri kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.

 

Kerjaya politik Bung Moktar bermula pada 1999 apabila dia dipilih sebagai ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin, sahabat dan figura yang sentiasa teguh mempertahankan prinsip serta sentiasa berada di dalam saf perjuangan.

 

Katanya, Allahyarham juga telah banyak berkorban dan menyumbang kepada Sabah serta negara.

 

“Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan kepada rakyat, negeri Sabah dan negara. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini. Didoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin serta orang-orang yang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. - DagangNews.com