BTM Resources cadang pengurangan modal RM80 juta bagi hapuskan kerugian terkumpul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BTM Resources cadang pengurangan modal RM80 juta bagi hapuskan kerugian terkumpul

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Nov – Pengeluar produk berasaskan kayu, BTM Resources Bhd mencadangkan pengurangan modal berjumlah RM80 juta bagi menghapuskan kerugian terkumpul serta memulihkan semula baki keuntungan tertahan kepada paras positif.

 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, setakat 30 Jun 2025, BTM telah mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM78.88 juta di peringkat kumpulan dan RM68.36 juta di peringkat syarikat.

 


Selepas pelaksanaan pengurangan modal itu, BTM dijangka mencatatkan keuntungan tertahan sebanyak RM1.02 juta di peringkat kumpulan dan RM11.54 juta di peringkat syarikat.

 


Setakat 31 Oktober 2025, modal terbitan BTM ialah RM97.9 juta, merangkumi 1.26 bilion saham biasa dan 307.19 juta waran C yang boleh dilaksanakan pada harga 10 sen setiap satu.

 


Selesai pelaksanaan yang dijangka pada separuh pertama 2026, modal terbitan kumpulan akan dikurangkan kepada RM17.9 juta.

 

Saham BTM Resources ditutup tidak berubah pada 3 sen dalam dagangan semalam, memberikan nilai pasaran sebanyak RM37.69 juta. - DagangNews.com