BTM batal satu lagi projek loji janakuasa disebabkan kesukaran isu pembiayaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BTM batal satu lagi projek loji janakuasa disebabkan kesukaran isu pembiayaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Julai — BTM Resources Berhad membatalkan projek loji janakuasa tenaga boleh diperbaharui (RE) 7MW berikutan kesukaran memperoleh pembiayaan dan isu peningkatan kos projek.

 

Tindakan terbaharu kumpulan berkenaan merupakan projek loji kuasa kedua telah dibatalkan selepas loji janakuasa biojisim 10MW di Teluk Kalong, Terengganu yang telah ditamatkan pada 19 Mei 2025.

 

BTM menerusi anak syarikat milik penuhnya, BTM Land Sdn Bhd (BTML), sudah pun menerima kelulusan pelepasan projek RE tersebut daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).

 

 

 

 

 

 

"Agensi berkenaan menerusi surat rasmi bertarikh 7 Julai 2025 mengesahkan penerimaan permintaannya melepaskan kelulusan bagi projek yang dirancang itu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Projek tersebut, yang asalnya telah pun lama diluluskan oleh SEDA sendiri pada 2022, bertujuan untuk membekalkan bekalan RE kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah mekanisme Tarif Suapan (FiT).

 

Menurut BTM, pelepasan itu berikutan SEDA menolak permohonan lanjutan masa pelaksanaan perjanjian pembiayaan dan pembayaran kepada kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dilantik.

 

Selain itu, BTML menerima surat susulan daripada SEDA pada 21 Februari 2025, menunjukkan hasratnya untuk membatalkan Kelulusan Maklum Balas kerana ketidakpatuhan kepada tarikh akhir yang ditetapkan.

 

Keadaan tersebut menyebabkan BTM menilai semula daya maju projek ekoran peningkatan bahan mentah dan kos pembinaan, serta cabaran pembiayaan dan memutuskan untuk menarik diri daripada projek itu.

 

"Langkah pelepasan kelulusan FiT ini dijangka tidak memberikan sebarang kesan material terhadap kedudukan operasi kumpulan, kerana pembinaan loji kuasa biojisim itu belum dimulakan," katanya.

 

Dua bulan lalu, BTM bertindak membatalkan rancangan pembangunan loji biojisim selepas kemudahan perbankan untuk projek berkenaan yang sepatutnya bermula pada 23 Januari 2022 gagal diperoleh.

 

Projek itu sekiranya siap membolehkan ia memiliki dan mengendalikan kemudahan RE serta membekalkan elektrik kepada TNB pada kadar tarif tetap 35 sen setiap kilowatt-jam selama tempoh 21 tahun.

 

Pada masa itu, BTM turut menunda pembangunan loji janakuasa 7MW dengan ia menilai sama ada akan dibatalkannya berikutan peletakan jawatan Pengerusinya, Loo Eng Hua. - DagangNews.com