KUALA LUMPUR 6 Jun – Bright Packaging Industry Bhd memeterai perjanjian usaha sama (JV) baharu dengan Datai Plantations Sdn Bhd (DPSB) bagi memperluas pelaburan dan mempelbagaikan perniagaan dalam sektor kelapa sawit.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan perjanjian tersebut menggantikan JV terdahulu yang dimeterai pada 5 Mei 2023.
"Kami berhasrat meluaskan pelaburan dan mempelbagaikan perniagaan dalam sektor perladangan sawit untuk menjana pendapatan mampan jangka panjang dengan sokongan pihak ketiga, iaitu Datai Plantations yang memiliki kepakaran teknikal, komersial, dan pengurusan dalam industri tersebut," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Lembaga pengarah syarikat yakin langkah itu berpotensi menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan.
Bright Packaging turut menyatakan prospek industri minyak sawit kekal positif, didorong oleh permintaan kukuh dan harga yang stabil.
"Bagi syarikat yang terlibat dengan harga minyak sawit mentah (CPO), 2025 mungkin membuka peluang dagangan jangka pendek sekiranya Indonesia mempercepatkan pelaksanaan mandat bio-diesel secara menyeluruh.
"Tempoh Januari hingga pertengahan Februari 2025 dilihat sebagai fasa genting untuk syarikat sedemikian," tambah Bright Packaging.
Menurut syarikat, JV itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman.
Selain itu, penyertaan dalam sektor sawit dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap perniagaan pembungkusan berasaskan aluminium foil yang kini berdepan persaingan sengit, turun naik harga bahan mentah serta ketidaktentuan kadar tukaran mata wang asing.
Memetik data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga CPO dijangka kekal kukuh atau meningkat pada 2025 dengan unjuran sekitar RM4,000 hingga RM4,350 satu tan berbanding purata RM4,200 satu tan pada 2024.- DagangNews.com








