Borneo dalam situasi strategik manfaat tenaga solar luar pesisir - Duta Romania | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Borneo dalam situasi strategik manfaat tenaga solar luar pesisir - Duta Romania

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — Borneo memiliki banyak kelebihan strategik untuk memanfaatkan penggunaan tenaga solar secara luar pesisir, kata Duta Besar Romania ke Malaysia, Nineta Barbulescu.

 

Beliau berkata, Borneo mempunyai keadaan fizikal ideal untuk projek tenaga boleh diperbaharui (RE) berskala besar, termasuk penyimpanan karbon, pengeluaran hidrogen dan metanol hijau air laut.

 

Tambahnya, dari sudut fakta, kadar pengeluaran angin dan gelombang luar pesisir di Borneo adalah yang paling rendah di peringkat global tetapi ia mengandungi potensi masa depan sangat berguna.

 

"Ia menjadikan tempat ini sesuai untuk pembangunan solar luar pesisir, penyimpanan karbon dan hidrogen hijau yang diekstrak daripada air laut dan metanol untuk proses penghantaran," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika sesi pleno bertajuk Memodenkan Grid Kuasa: Mempercepatkan Integrasi RE dan Teknologi Penyimpanan Tenaga pada Minggu Tenaga Antarabangsa di Kuching, Sarawak.

 

Barbulescu turut berkongsi penyelidikan Universiti Nasional Australia yang mendapati Borneo adalah antara tempat di dunia memenuhi syarat fizikal utama diperlukan untuk infrastruktur luar pesisir.

 

“Kawasan ini mendapat penebat solar purata 175 watt setiap meter persegi, dengan ketinggian ombak mencecah hingga tujuh meter, kedalaman air kurang daripada 800 meter dan tiada taufan," tambahnya.

 

Jika dilihat ke seluruh dunia katanya, tidak banyak pesaing dalam kategori ini dan beliau juga memperkenalkan konsep cadangan 'bateri hidro' melalui konsortium melibatkan beberapa universiti.

 

Penyelidikan berkenaan kata beliau, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Nasional Australia, serta pelbagai institusi pengajian tinggi ternama dari Romania dan Singapura.

 

Tambah Barbulescu, konsep 'bateri hidro' di Sarawak boleh melibatkan penggunaan Tasik Bakun dan Murum secara optimum sebagai lokasi untuk sistem hidro simpanan jenis gegelung secara tertutup.

 

"Ini membolehkan penjanaan dan penyimpanan RE sambil berfungsi sebagai tebatan ketika banjir," katanya merujuk keupayaan empangan Bakun dan Murum mampu menyimpan tenaga 500 gigawatt sejam.

 

Perkembangan tersebut kata beliau, boleh dicapai dengan mengepam 1,700 gigaliter air mendaki bukit melalui laluan sepanjang 2.8 kilometer serta anggaran kos ialah RM47 setiap kilowatt setiap jam.

 

Nilai tersebut katanya, adalah kurang lima peratus daripada kos bateri litium dan pelan itu jika ingin dilakukan boleh dirancang dalam tiga fasa pembangunan, sebelum penggunaan skala penuh.

 

Selain itu, panel solar terapung sehingga 120 gigawatt boleh dipasang di dua tasik itu membekalkan tenaga kepada sistem bateri hidro untuk pengeluaran RE sepanjang masa sebanyak 20 gigawatt lagi.

 

Beliau menjangkakan, jumlah kos modal untuk bateri hidro di negeri tersebut dianggarkan RM15 bilion setiap gigawatt, dengan kos tenaga yang diratakan pada 5.5 sen setiap kilowatt sejam.

 

Sebagai perbandingan, loji janakuasa gas dengan sistem penangkapan karbon menelan belanja kira-kira RM13.6 bilion setiap gigawatt dan menyampaikan tenaga pada 8.5 sen setiap kilowatt sejam.

 

"Produk akhir ialah bateri hidro yang menjana tenaga, serta lebih murah berbanding gas dan sudah tentu, ia mesra alam sekitar," kata Barbulescu sambil yakin ia menarik minat pelaburan asing.

 

Malahan tambah beliau, dua minggu lalu, Arab Saudi telah memperuntukkan RM10 bilion untuk projek bateri solar dan hidro terapung di Tasik Kenyir, Terengganu. - DagangNews.com