BNM diyakini kekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang 2025, kata BMI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM diyakini kekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang 2025, kata BMI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Julai — Bank Negara Malaysia (BNM) diyakini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan pada 9 Julai 2025 kepada 2.75 peratus untuk sepanjang 2025, menurut BMI.

 

Firma penyelidikan di bawah Fitch Solutions itu berkata, ia percaya bahawa langkap pemotongan kadar 25 mata asas baru-baru ini akan menjadi penurunan OPR yang terakhir untuk tahun ini.

 

Walaupun pengurangan kadar tersebut berlaku lebih awal daripada yang dijangkakannya, ia masih mengekalkan pandangan bahawa OPR itu akan menjadi kitaran semasa terakhir dilaksanakan BNM.

 

"Kami meramalkan bahawa OPR akan menamatkan tahun ini pada 2.75 peratus dan sektor perbankan kurang bimbang mengenai inflasi negara kita buat masa ini," kata BMI dalam satu nota kajiannya.

 

Inflasi keseluruhan tambahnya, berkurangan kepada 1.2 peratus pada Mei 2025 berbanding 1.4 peratus pada April 2025 iaitu bulan ke-12 berturut-turut kekal bawah purata 10 tahun sebanyak 2.0 peratus.

 

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa pelan rasionalisasi subsidi petrol RON 95 akan menambah tekanan harga dan berpotensi menyinggung pihak bank jika BNM melonggarkan dasar terlalu meluas.

 

BMI menambah, memandangkan pihak berkuasa masih dalam peringkat akhir perbincangan, ia menjangka rancangan pelarasan subsidi bahan api itu hanya dilaksanakan seawal-awal pada suku keempat 2025.

 

"Secara prinsipnya, pihak kerajaan merangka sifat sasaran program rasionalisasi ini supaya dapat menunjukkan kesannya terhadap inflasi keseluruhan dengan lebih terhad," kata firma berkenaan.

 

Dalam pada itu, ia menyatakan pandangan kurang optimistik terhadap hasil rundingan perdagangan tarif ke atas produk Malaysia berikutan perkembangan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

 

Kata BMI, dengan ketiadaan kemajuan ketara dalam rundingan, Presiden Donald Trump seterusnya mengancam untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas negara-negara yang menyokong dasar anti-AS.

 

Beliau jelas merujuk kepada BRICS, sebuah blok ekonomi alternatif yang mengadakan persidangan kemuncak ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil dari 6 hingga 7 Julai 2025 dan dihadiri Malaysia.

 

"Ini adalah berita negatif untuk Malaysia sendiri memandangkan penglibatannya sebagai negara rakan kongsi kepada kumpulan itu yang sekarang dianggotai 10 negara," katanya. - DagangNews.com