KUALA LUMPUR 10 Julai — Bank Negara Malaysia (BNM) diramal tidak lagi melaksanakan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini kecuali ada risiko penurunan ekonomi, menurut penganalisis.
Firma-firma penyelidikan berkata, langkah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu semalam menunjukkan ia beralih daripada pendekatan berlembut kepada neutral dalam menilai situasi semasa.
CGS International Research (CGSI) berkata, perubahan tindakan mereka itu adalah jelas dapat dilihat ketara berbanding nada berwaspada yang diperhatikan ketika mesyuarat sebelumnya pada 8 Mei 2025.
BNM mengekalkan pendiriannya bahawa risiko kepada pertumbuhan masih ada dan ia berpendapat bank pusat gembira dengan paras semasa serta mungkin beralih arah hanya jika keadaan bertambah buruk.
"Mengenai dasar monetari, nada neutral MPC menunjukkan yang BNM selesa dengan pertumbuhan sekarang dan kami ramal tiada lagi pemotongan OPR sepanjang tahun ini serta kekal 2.75 peratus," katanya.
Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) menyatakan, BNM mengekalkan nada berhati-hati serta mengakui bahawa imbangan risiko kepada prospek pertumbuhan juga kekal condong ke arah bawah.
Ia berbeza ketika Mei 2025 apabila MPC menyebut kelembapan ekonomi dalam rakan dagangan utama dan sentimen lemah ekoran ketidaktentuan yang tinggi, manakala kali ini, penilaiannya lebih bersih.
“Peralihan halus ini memberi isyarat walaupun risiko luaran kekal, BNM tidak melihat kemerosotan mendadak dalam prospek domestik ketika ini dan kami jangka OPR sama untuk baki 2025," katanya.
Dalam pada itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) melihat langkah terbaharu MPC nampaknya telah mengurangkan nada lembut berbanding pendekatan peralihan arah menerusi kenyataannya terdahulu.
Sambil mengakui ketidaktentuan berterusan di luar negara disebabkan perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS) dan risiko geopolitik, MPC kini menekankan pertumbuhan berterusan ekonomi Malaysia.
“Memandangkan kenyataan MPC semalam, kami menjangkakan OPR kekal pada 2.75 peratus sehingga akhir tahun dengan didorong oleh faktor daya tahan permintaan dalam negeri sendiri," kata firma tersebut.
Tambahnya, semakan BNM kepada unjuran pertumbuhan rasmi 2025 antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus akan diumum pada minggu keempat Julai 2025, tetapi ia bukan penurunan ketara. - DagangNews.com








