BNM bersama bank pusat Indonesia, Thailand lantik 18 bank sertai rangka kerja transaksi mata wang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM bersama bank pusat Indonesia, Thailand lantik 18 bank sertai rangka kerja transaksi mata wang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Ogos — Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Indonesia (BI) dan Bank of Thailand (BOT) melantik 18 bank perdagangan mengoperasikan Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (LCTF).

 

Bank-bank yang berkelayakan tersebut, dengan dikenali sebagai Appointed Cross-Currency Dealers (ACCD), akan memudahkan urusan rumusan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan antara tiga negara.

 

Inisiatif ini juga merupakan susulan kepada beberapa penambahbaikan dalam Garis Panduan LCTF yang pernah diumumkan oleh ketiga-tiga bank pusat itu menerusi satu kenyataan pada 17 Februari 2025.

 

"Rangkaian ACCD yang diperluas ini akan memperkukuh capaian kepada pelanggan, meningkatkan akses pasaran kepada mudah tunai mata wang tempatan," kata BNM, BNI dan BOT dalam kenyataan bersama.


Tambah tiga bank pusat itu, langkah berkenaan turut memberikan pilihan yang lebih baik kepada perniagaan untuk melakukan pelbagai transaksi rentas sempadan antara Malaysia, Indonesia dan Thailand.
 

LCTF

 

Selain itu juga katanya, ketiga-tiga bank tersebut akan terus menyokong usaha memacu pertumbuhan perdagangan dan pelaburan melalui kerjasama kewangan yang lebih erat menerusi inisiatif LCTF.

 

Sebanyak lima institusi perbankan Malaysia terlibat masing-masing dalam LCTF ringgit kepada rupiah Indonesia serta ringgit kepada baht Thailand, antaranya AmBank (M) Berhad dan Bank of China (M) Berhad.

 

Berdasarkan senarai yang dilampirkan, OCBC Bank Malaysia Berhad dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation Malaysia Berhad juga dimasukkan dalam LCTF merangkumi dua mata wang negara jiran itu.

 

Sementara Standard Chartered Bank Malaysia Berhad hanya disenaraikan dalam LCTF ringgit kepada rupiah, manakala Hong Leong Bank Berhad pula LCTF ringgit kepada baht. - DagangNews.com