Binastra raih kontrak RM503 juta bina pusat data di Bandar Sri Permaisuri KL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra raih kontrak RM503 juta bina pusat data di Bandar Sri Permaisuri KL

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Feb - Binastra Corporation Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd, menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Exsim Sri Permai Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan pusat data (Lot 1) bernilai RM503 juta di Bandar Sri Permaisuri, di sini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memberitahu kontrak turnkey berkenaan merangkumi kerja reka bentuk, pembinaan, pentauliahan, penyelenggaraan serta jaminan untuk asas, sub-struktur, bangunan utama dan infrastruktur pusat data berkenaan.

 

Projek dijangka bermula pada 19 Februari 2026 dan disiapkan dalam tempoh 20 bulan.

 

Menurut syarikat, kontrak ini dijangka memberikan aliran pendapatan tambahan bagi Kumpulan bagi dua tahun kewangan akan datang iaitu berakhir 31 Januari 2027 dan 2028, serta menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini, sekali gus menegaskan ketelusan syarikat.

 

Para pengarah Binastra menyifatkan penerimaan kontrak ini sebagai langkah strategik dan adalah untuk kepentingan terbaik syarikat, sejajar dengan usaha memperkukuh kehadiran Kumpulan dalam sektor pembangunan infrastruktur digital. - DagangNews.com