Binastra berisiko terjejas disebabkan kurang peroleh kontrak baharu - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra berisiko terjejas disebabkan kurang peroleh kontrak baharu - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — Binastra Corporation Berhad dikenal pasti masih lagi berdepan dengan isu kelemahan trend penambahan kerja baharu yang disifatkan agak lembap, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, risiko kekurangan kontrak dikenal pasti boleh menjejaskan pertumbuhan kumpulan pembinaan itu selepas merekodkan buku tempahan tertunggak RM4.6 bilion.

 

Bagaimanapun ia masih yakin dengan potensi momentum syarikat berkenaan setelah meninjau projek pusat data (DC) yang diusahakannya di Cyberjaya, Selangor dan diperoleh daripada pihak MYT DC3.

 

"Kami berasa optimis dengan kemajuan Binastra walaupun penglibatannya dalam DC secara relatif lebih kecil berbanding dengan kontraktor tersenarai lain," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Justeru, ia menjangkakan kumpulan tersebut kemungkinan besar meneroka lebih jauh daripada sekadar bergantung hanya projek hartanah kediaman untuk cuba membuka laluan kepada jenis tender yang lain.

 

Tambahnya, Binastra bukan setakat berupaya dalam pembinaan DC, malah ia sudah terbukti melalui beberapa penganugerahan kerja-kerja yang berkaitan dengan pembangunan loji rawatan kumbahan.

 

Sehingga kini kata RHB Research, ia telah memperoleh kontrak empat projek DC bernilai RM1.2 bilion iaitu kira-kira 18 peratus daripada buku tempahan tertunggak syarikat, berdasarkan anggaran.

 

"Kami namun tetap menyedari faktor luaran, iaitu potensi sekatan cip kecerdasan buatan (AI) yang dikenakan ke atas Malaysia oleh Amerika Syarikat sebagai isu akan datang," kata firma tersebut.

 

Sehubungan itu, usaha Binastra memperoleh 40.8 peratus kepentingan dalam LF Lansen membolehkan ia mempunyai kepakaran yang lebih baik, terutama berkaitan dengan perkara berkaitan kemudahan DC.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran tidak berubah kepada RM2.64 sesaham dengan menilai unjuran potensi syarikat. - DagangNews.com