Bilionair Hong Kong ramal trend aliran dana asing ke Malaysia dijangka berterusan susulan pengimbangan semula saham global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bilionair Hong Kong ramal trend aliran dana asing ke Malaysia dijangka berterusan susulan pengimbangan semula saham global

KUALA LUMPUR 12 Feb – Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada trend pengimbangan semula portfolio global apabila pelabur antarabangsa mula mengalihkan dana daripada saham Amerika Syarikat (AS) yang mahal kepada pasaran sedang pesat membangun yang menawarkan penilaian lebih menarik.

 

Bilionair Hong Kong yang juga Pengerusi Cheah Capital, Datuk Seri Cheah Cheng Hye berkata, fenomena tersebut masih di peringkat awal dan berpotensi berterusan memandangkan pasaran saham AS kini merangkumi kira-kira 65% daripada permodalan pasaran global, walaupun ekonomi negara itu hanya menyumbang sekitar satu perempat daripada ekonomi dunia.

 

“Ekonomi Amerika hanyalah kira-kira 25% daripada ekonomi global tetapi pasaran sahamnya hampir dua pertiga daripada jumlah dunia. Ini mewujudkan ketidakseimbangan yang dilihat berisiko oleh sebahagian pelabur,” katanya lapor The Star.

 

Menurut beliau, keadaan itu mendorong pelabur global menilai semula peruntukan aset mereka, sekali gus meningkatkan minat terhadap pasaran seperti Malaysia yang menawarkan asas ekonomi kukuh dan penilaian lebih munasabah.

 

Data terkini menunjukkan momentum tersebut semakin jelas. UOB dalam nota penyelidikannya baru-baru ini berkata, Malaysia mencatat aliran masuk portfolio asing sebanyak RM2 bilion pada Januari, meningkat dua kali ganda berbanding RM1 bilion pada Disember, sekali gus menandakan bulan keempat berturut-turut aliran masuk bersih.

 

“Pelabur asing menambah pegangan dalam sekuriti hutang dan ekuiti, disokong oleh asas domestik yang kukuh serta pengukuhan ringgit di tengah ketidaktentuan luaran,” menurut nota tersebut.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan aliran modal ke pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, akan kekal selektif namun positif, disokong jangkaan pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan AS serta kesinambungan kitaran pelaburan kecerdasan buatan (AI) global.

 

Cheah turut menekankan bahawa saham Malaysia kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) purata sekitar 16.5 kali, jauh lebih rendah berbanding saham AS yang berada pada paras kira-kira 28 kali.

 

“Majoriti pasaran saham dunia kini berada pada penilaian lebih murah berbanding New York, di mana penilaian telah melonjak selepas bertahun-tahun menarik masuk modal global,” katanya.

 

Beliau menambah, kelemahan dolar AS turut mengurangkan daya tarikan pasaran Amerika dalam kalangan pelabur antarabangsa.

 

Setakat tahun ini, pasaran saham Malaysia meningkat 4.5%, mengatasi kenaikan 1.4% yang dicatatkan Indeks S&P 500.

 

Bagaimanapun, Cheah mengakui faktor kecairan yang terhad kekal menjadi cabaran utama pasaran modal tempatan.

 

“Kecairan yang terhad menghadkan jumlah pelaburan yang boleh disalurkan oleh pelabur asing, walaupun minat terhadap Malaysia semakin meningkat,” katanya.

 

Beliau optimis prestasi relatif Malaysia akan terus kukuh, disokong penilaian menarik, pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas berbanding AS serta pengukuhan mata wang tempatan. - DagangNews.com