KUALA LUMPUR 24 Julai — Betamek Berhad mencatatkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai (PAT) yang lebih kukuh kepada RM5.4 juta pada tempoh suku pertama yang berakhir 30 Jun 2025 (1QFY26).
Pengeluar reka bentuk asal (ODM) dan peneraju perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) industri automotif itu berkata, ia meningkat berbanding RM4.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Syarikat itu turut melaporkan hasil sebanyak RM56.9 juta bagi suku tersebut menandakan peningkatan 13.8% berbanding RM50.0 juta pada 1QFY25 dipacu oleh jualan aksesori kenderaan yang lebih tinggi.
"Selain itu, pertumbuhan dijana sumbangan awal daripada instrumen industri dan elektronik pengguna yang mencerminkan kejayaan awal daripada strategi kepelbagaian Betamek," katanya dalam kenyataan.
Tambahan pula katanya, margin keuntungan kasar kumpulan berkembang kepada 18.4% berbanding 17.2% sebelumnya, disokong oleh pengurusan kos lebih kukuh dan pergerakan mata wang yang menggalakkan.
Segmen produk audio dan visual terus menjadi penyumbang hasil utama, iaitu RM38.9 juta, atau 68.4% manakala segmen aksesori sebanyak RM11.3 juta dan segmen produk bukan automotif dengan RM6.6 juta.
Betamek turut menyatakan pasaran Malaysia kekal sebagai tumpuan utama kumpulan apabila menyumbang 97.2% daripada keseluruhan jumlah hasil, dengan baki kecilnya diperoleh dari Hong Kong dan Jepun.

"Bagaimanapun berbanding dengan 4QFY25, hasil merosot sedikit sebanyak 4.8% daripada RM59.7 juta, terutama kerana faktor pengurangan hari bekerja semasa tempoh beberapa perayaan utama," katanya.
Kumpulan itu namun mengekalkan keuntungan kukuh sebelum margin cukai sebanyak 12.6%, berbanding 12.1% yang dicatatkan pada suku sebelumnya, mencerminkan kecekapan operasinya secara berterusan.
Di samping itu tambahnya, margin keuntungan kasar bertambah baik sebanyak 0.81% disebabkan oleh pergerakan mata wang yang menggalakkan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat dan yuan China.
Untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah Betamek mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
"Kami gembira memulakan tahun kewangan dengan kukuh, dipacu kemajuan berterusan strategi kepelbagaian dan penambahbaikan operasi," kata Pengarah Eksekutifnya, Muhammad Fauzi Abd Ghani.
Prestasi itu tambahnya, turut mencerminkan keupayaan Betamek untuk dapat menyesuaikan diri dan berkembang secara mampan walaupun pasaran kembali normal selepas satu tahun yang mencatat rekod.
Walaupun pasaran automotif Malaysia dijangka stabil berikutan jualan tertinggi iaitu 816,747 unit pada 2024, syarikat kekal yakin dengan permintaan kukuh daripada segmen kenderaan mampu milik tahun ini.
Bahagian berkenaan katanya, masih diterajui oleh pelanggan utamanya Perodua, yang terus mengekalkan pasaran dan tempahan tertunggak secara kukuh sebanyak 90,000 unit. - DagangNews.com








