Bermaz Auto bakal menyaksikan pertumbuhan jangka panjang dibantu oleh pelancaran model kereta baharu - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bermaz Auto bakal menyaksikan pertumbuhan jangka panjang dibantu oleh pelancaran model kereta baharu - MIDF Research

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Pelancaran model kereta baharu Bermaz Auto Bhd dan pelan strategik kumpulan untuk menarik pelanggan bakal meletakkan kumpulan itu pada pertumbuhan jangka panjang, kata MIDF Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, fokus utama kumpulan untuk mengeluarkan model kereta elektrik (EV) di Malaysia merupakan salah satu faktor yang mungkin membantu memacu perkembangan kumpulan. 

 

"Walaupun pengeluaran EV model Xpeng dan Deepal di peringkat tempatan merupakan keutamaan kumpulan, tetapi terdapat cabaran dalam memenuhi 30% keperluan kandungan tempatan, terutamanya dengan bateri membentuk 40% daripada jumlah kos," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Katanya, Bermaz Auto menyaksikan susutan permintaan Mazda dalam pasaran pada 2024, tetapi permintaan kereta model baharu kumpulan iaitu Kia Sportage (CKD), Xpeng 6G EV dan Deepal terus meningkat.

 

"Tekanan persaingan jangka pendek kekal berterusan, tumpuan strategik Bermaz Auto pada inovasi, pelancaran model baharu dan kesetiaan pelanggan meletakkannya dengan baik untuk mengharungi ketidaktentuan pasaran dan memberi pulangan jangka panjang kukuh.


 
"Selain itu, Bermaz Auto kempen kesetiaan dan perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatkan dijangka mengurangkan kesan persaingan pasaran yang sengit, terutamanya daripada jenama China.

 

"Ini termasuk kempen kesetiaan yang dilancarkan pada Oktober 2024, menawarkan tahun tambahan waranti dan penyelenggaraan percuma kepada pelanggan yang kembali.

 

"Setakat ini, kira-kira 1,000 pelanggan telah menerima tawaran itu," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan "beli" dengan menurunkan harga sasaran (TP) Bermaz Auto kepada RM1.97 daripada RM2.21 sesaham. - DagangNews.com