Berjaya Corp jual 48.5 juta saham Berjaya Assets bernilai RM14.55 juta untuk bayar hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berjaya Corp jual 48.5 juta saham Berjaya Assets bernilai RM14.55 juta untuk bayar hutang

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 JulaiBerjaya Corporation Berhad merealisasikan sebahagian pelaburannya dalam Berjaya Assets Berhad menerusi langkah penjualan sebanyak 48.5 juta saham bernilai RM14.55 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, hasil pelupusan berkenaan akan digunakan semula bagi mengurangkan hutang dan memperkukuhkan modal kerja operasi syarikat itu.

 

Dua anak syarikat milik penuhnya, Ambilan Imej Sdn Bhd dan Berjaya IPS Credits Sdn Bhd sudah melaksanakan pelupusan tersebut menerusi urus niaga perniagaan secara langsung pada 9 Julai 2026.

 

"Saham yang dilupuskan itu mewakili kira-kira 1.90% kepentingan ekuiti dalam Berjaya Asstes dengan harga 30 sen sesaham, bersamaan jumlah pertimbangan tunai RM14.55 juta," kata Berjaya Corporation.

 

Daripada jumlah tersebut, Ambilan Imej melupuskan sebanyak enam juta saham bernilai RM1.8 juta, manakala Berjaya IPS Credits menjual kira-kira 42.5 juta saham yang bernilai RM12.75 juta.

 

Selepas pelupusan itu, pegangan kumpulan tersebut bersama anak-anak syarikatnya dalam Berjaya Assets berkurangan kepada sebanyak 308.55 juta saham atau kira-kira 12.06% kepentingan ekuiti.

Berjaya Corporation_DagangNews2026

 

Pada masa yang sama, Berjaya Corporation berkata, harga pelupusan berkenaan ditentukan berdasarkan kepada harga pasaran semasa saham Berjaya Assets ketika urus niaga tersebut dilaksanakan.

 

"Hasil daripada pelupusan akan digunakan bagi membayar semula pinjaman serta membiayai keperluan modal kerja kumpulan, termasuk perbelanjaan pentadbiran, pemasaran dan kos operasi," katanya.

 

Tambahnya, syarikat berkenaan turut memaklumkan nilai dibawa bagi saham Berjaya Assets untuk dilupuskan dalam buku kewangan kumpulan ialah 73 sen sesaham, yang direkodkan sejak Mac 2005.

 

Bagaimanapun, pelupusan itu tiada kesan kepada modal saham terbitan atau pemegang saham utama Berjaya Corporation, selain tidak memberi impak material terhadap aset, hasil dan tahap hutang.

 

Beberapa pengarah dan pemegang saham utama mempunyai kepentingan dalam kedua-dua syarikat, namun menarik diri daripada semua perbincangan dan pengundian Lembaga Pengarah berkaitan urus niaga itu.

 

Lembaga Pengarah, kecuali pengarah yang berkepentingan, berpandangan pelupusan itu adalah wajar demi kepentingan terbaik kumpulan serta mengikut terma komersial biasa. - DagangNews.com