KUALA LUMPUR 11 Jun - Benalec Holdings Bhd memenangi kontrak untuk mengangkut arang bagi TNB Fuel Services Sdn Bhd, dengan nilai kontrak yang tidak didedahkan.
Benalec berkata, kadar bayaran untuk pengangkutan arang batu adalah antara RM20.50 hingga RM375.86 bagi setiap tan, bergantung kepada jarak perjalanan dari pelabuhan muatan ke pelabuhan pelepasan.
Bayaran akan dibuat dalam ringgit Malaysia.
"Kontrak ini bermula pada 6 Jun lalu dan akan berlangsung selama dua tahun.
"Dalam tempoh ini, Benalec akan mengangkut sehingga 3.5 juta tan arang batu setahun, dengan kemungkinan tambahan 20% mengikut keputusan TNB Fuel Services," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
TNB Fuel Services adalah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bertanggungjawab menghantar serta membekalkan arang batu ke loji jana kuasa di Malaysia yang beroperasi di bawah perjanjian dengan TNB.
Benalec pernah mengendalikan kontrak pengangkutan arang batu untuk syarikat sama dari tahun 2019 hingga 2021, namun gagal meraih kontrak berkenaan bagi tempoh 2022 hingga 2024.
Pada FY24, Benalec mencatat keuntungan bersih sebanyak RM12.8 juta selepas tujuh tahun mengalami kerugian.
Keuntungan itu diperoleh hasil daripada jualan tanah yang lebih tinggi dan peningkatan kerja penambakan.
Pendapatan syarikat juga naik lebih tiga kali ganda kepada RM91.33 juta. - DagangNews.com








