Belum ada lagi keputusan muktamad isu perintah kekayaan tidak dapat dijelaskan, kata Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belum ada lagi keputusan muktamad isu perintah kekayaan tidak dapat dijelaskan, kata Amir Hamzah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Ogos — Kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung isu perintah kekayaan tidak dapat dijelaskan (UWO), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Bagaimanapun, beliau mengakui cadangan itu sedang dikaji secara serius dan menyifatkan ia antara idea yang wajar diberi perhatian tetapi memerlukan kajian menyeluruh sebelum tindakan diambil.

 

Justeru tambah beliau, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa melaksanakannya dan memberi jaminan telah menerima cadangan untuk menilai pelaksanaan UWO sebelum menelitinya dengan lebih serius.

 

“Secara umum, buat masa ini kerajaan belum lagi bersedia untuk membuat keputusan muktamad,” kata Amir Hamzah ketika ditemui para pemberita pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2025, hari ini.

 

Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang yang membolehkan pelaksanaan UWO bagi memerangi pengumpulan kekayaan secara haram.

 

Langkah berkenaan juga dapat membendung amalan rasuah sistemik dalam kalangan golongan elit yang menyimpan segala aset kekayaan mereka daripada aktiviti menyalahi peraturan kewangan negara.

 

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, sebarang dasar baharu, termasuk UWO, mesti melalui proses penyelidikan mendalam untuk menilai implikasinya terhadap ekonomi dan orang ramai secara am.

 

"Kami tidak mahu melaksanakan dasar yang akhirnya membawa akibat negatif atau tidak diingini. Apa yang penting ialah memahami sepenuhnya kesan sebelum membuat sebarang keputusan," tambahnya.

 

Mengenai pelaksanaan cukai ke atas barangan bernilai tinggi, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengamalkan pendekatan bersasar bagi memastikan beban cukai jatuh kepada individu berkemampuan.

 

Sebagai contoh tambah Amir Hamzah, apabila kerajaan memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), segala perkara dipantau dengan teliti termasuk segmen yang boleh menanggung beban cukai.

 

"Barangan asas sering digunakan secara meluas oleh orang ramai dikecualikan daripada SST, manakala cukai tersebut hanya dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mewah," kata beliau.

 

Tambahnya, dalam sektor penjagaan kesihatan, cukai dikenakan kepada warga asing yang menerima rawatan dan untuk sektor pendidikan, ia ke atas golongan berpendapatan tinggi. - DagangNews.com