Belanjawan 2026: MCMC komited perkukuh keterangkuman dan kesalinghubungan negara  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: MCMC komited perkukuh keterangkuman dan kesalinghubungan negara 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Okt - Inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkukuh kesalinghubungan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi ke seluruh negara.

 

Dalam kenyataan hari ini MCMC berkata, sekali gus langkah tersebut dapat memastikan rakyat di seluruh negara menikmati manfaat pembangunan secara saksama.

 

"MCMC menyambut baik penekanan Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2026 terhadap usaha memperkukuh kesalinghubungan komunikasi, memperluas pembangunan infrastruktur digital negara, serta memperkasa masyarakat melalui teknologi dan inovasi.

 

"MCMC komited melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 bagi memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara serta memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang di seluruh Malaysia," kata kenyataan itu.

 

Kenyataan itu menambah, inisiatif strategik di bawah Belanjawan 2026 yang bakal dilaksanakan MCMC meliputi:

 

I. Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) – RM2 bilion

Pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 km dari Johor ke Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh kesalinghubungan dan capaian Internet negara.

 

II. Peluasan Liputan JENDELA 2 – RM780 juta

Peluasan jalur lebar ke 2,700 lokasi baharu, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

 

III. Ketersambungan Internet Fasiliti Kesihatan – RM650 juta

Meningkatkan sambungan Internet di hospital awam dan klinik kesihatan 
bagi memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat.

 

IV. Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) – RM350 juta

Memperkasa 1,099 pusat komuniti sebagai hab latihan dan keusahawanan bagi membantu usahawan desa menjana pendapatan.

 

V. Sistem Amaran Awal (EWS) – RM210 juta

Membangunkan sistem amaran awal bencana bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dan melindungi rakyat.

 

Tambah kenyataan itu, bagi memperkukuh kedaulatan data negara yang selamat dan beretika, MCMC akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion. 

 

"Inisiatif ini turut merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI)," katanya.

 

Menurut kenyataan itu lagi, MCMC juga menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G bagi memastikan 
kedua-dua rangkaian mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026, sekali gus menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan.

 

"Pada masa sama, MCMC akan memperluas Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan penggunaan internet beretika kepada seluruh lapisan masyarakat," katanya. - DagangNews.com