KUALA LUMPUR 10 Okt - Cukai Karbon akan diperkenalkan mulai tahun hadapan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi memastikan kecekapan pelaksanaan Cukai Karbon, mekanismenya akan turut diselaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan RUU Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini.
Anwar berkata, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau, GTFS 5.0 dibuka sehingga 31 Disember 2026 dengan insentif jaminan Kerajaan sehingga 80 peratus bagi teknologi hijau sektor sisa dan jaminan sehingga 60 peratus bagi sektor lain seperti tenaga, air, pengangkutan dan pembuatan dengan nilai pembiayaan berjumlah 1 bilion ringgit.
Bagi menyokong gaya hidup lestari, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju meneruskan pemberian rebat bagi pembelian kelengkapan jenis cekap tenaga kepada pengguna dan peniaga dengan peruntukan RM20 juta.
"Kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak 2,500 ringgit diperluas untuk merangkumi
pembelian mesin rincih sisa makanan bagi menggalakkan gaya hidup lestari. - DagangNews.com








