KUALA LUMPUR 13 Okt – Peningkatan peruntukan bantuan tunai rakyat kepada RM15 bilion menerusi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2026 dijangka memberi sokongan kepada sektor pengguna, terutamanya segmen pilihan yang mempunyai pendedahan besar kepada pasaran massa dan luar bandar.
Sehubungan itu firma penyelidikan CGS International (CGSI) mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap saham sektor pilihan pengguna, manakala sektor keperluan asas pengguna kekal pada ‘underweight’ disebabkan ketiadaan pemangkin pertumbuhan yang jelas.
CGSI berkata segmen keperluan asas masih terdedah kepada risiko termasuk dasar pro-kesihatan yang boleh menaikkan kos gula, sekali gus membayangi sektor ini dalam jangka sederhana.
“Sektor ini kekal defensif tetapi kekurangan pemacu pertumbuhan berbanding sektor lain yang lebih terdedah kepada penggunaan domestik,” katanya CGSI yang mengekalkan Fraser & Neave Holdings (F&N Malaysia) sebagai saham pilihan utama dalam sektor keperluan asas, diniagakan pada 16.3x PE tahun kewangan 2026, jauh lebih rendah berbanding purata rakan pesaing besar yang melebihi 30x.
CGSI meletakkan saham F&N Malaysia pada saranan TAMBAH, pada harga semasa RM27.84 dan harga sasaran RM36.50.
Sebaliknya, sektor pilihan pengguna dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada pelbagai langkah fiskal kerajaan yang bertujuan meringankan kos sara hidup, merangsang ekonomi luar bandar serta menggiatkan sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
CGSI berkata, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kuasa beli rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mempunyai kecenderungan tinggi untuk berbelanja.
Inisiatif tersebut termasuk peningkatan 15% dalam peruntukan STR dan SARA kepada RM15 bilion, bantuan tambahan SARA sehingga RM100 sebulan kepada semua 9 juta penerima STR dan tambahan RM200 sebulan untuk penerima STR kategori e-Kasih.
Langkah fiskal lain termasuk bantuan tahunan RM600 kepada individu bujang di bawah program SARA, bayaran sekali RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia pada Februari 2026 dan bayaran khas Aidilfitri RM500 untuk penjawat awam Gred 56 ke bawah dan RM250 untuk pesara serta veteran ATM, serta insentif RM500 untuk 120,000 veteran ATM penerima Pingat Jasa Malaysia.
“Dengan lebih banyak wang dalam tangan pengguna, terutamanya dari luar bandar, kami menjangkakan lonjakan perbelanjaan di peruncit berorientasikan massa seperti MRDIY, 99 Speedmart dan Mynews,” katanya.
Belanjawan 2026 turut memperuntukkan lebih RM700 juta kepada sektor pelancongan, termasuk potongan cukai individu sehingga RM1,000 untuk yuran masuk ke pusat pelancongan tempatan dan acara kebudayaan dan insentif cukai kepada syarikat dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.
"Sasaran untuk menarik 47 juta pelawat dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion dijangka memberi kesan limpahan kepada peruncit yang beroperasi di kawasan tumpuan pelancong seperti 7-Eleven dan Mynews," katanya.
CGSI mengulangi saranan positif ke atas dua saham utama dalam sektor ini MRDIY dengan saranan (Add), harga semasa (RM1.66), harga sasaran (RM2.09) dan Mynews dengan saranan (Add), harga semasa (RM0.62) dan harga sasaran (RM1.00). - DagangNews.com








