Bekas CEO dan 4 lagi pegawai YBR saman lebih RM36 juta terhadap Bank Rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas CEO dan 4 lagi pegawai YBR saman lebih RM36 juta terhadap Bank Rakyat

KUALA LUMPUR 3 Julai - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan empat lagi pegawai kanan Yayasan Bank Rakyat (YBR) n Yayasan Bank Rakyat (YBR) memfailkan saman sivil terhadap terhadap yayasan itu dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dengan tuntutan ganti rugi melebihi RM36 juta. 

 

Saman itu difailkan pada 5 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, bersama empat pegawai lain yang terdiri daripada bekas Ketua Bahagian Operasi, Mohd Mukhti Abd Rahman; Ketua Sekretariat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Khairul Na’im Aripan @ Arifin; dan Pengurus Sumber Manusia, Muhamad Johary Abdul Jalil.

 

Kelima-lima plaintif mendakwa mereka telah dipecat dan digantung secara mengejut, tanpa alasan sah, dan paling serius tanpa mematuhi proses dan tatakelola pengurusan yang sewajarnya.

 

Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk pencabulan ke atas integriti institusi serta satu konspirasi tersusun yang mencemarkan nama baik mereka sebagai pegawai kanan profesional.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas CEO YBR saman Bank Rakyat, dakwa diberhentikan secara tidak sah

 

Menurut Syaiful, pelantikan beliau sebagai CEO dibuat oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat, namun pemecatannya dilaksanakan oleh sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang baru ditubuhkan, yang didakwanya tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak sedemikian.

 

saman

 

“Punca kuasa pelantikan saya adalah daripada Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rakyat, tetapi perkhidmatan saya ditamatkan oleh Jawatankuasa Eksekutif yang secara perundangan tidak mempunyai kuasa mengambil alih peranan lembaga,” katanya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, lapor Suara.TV.

 

Beliau turut menyatakan bahawa tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan kerjaya dan reputasi peribadi mereka, malah berpotensi memberi kesan buruk kepada kredibiliti institusi sekiranya terbukti wujud campur tangan luar, khususnya oleh Bank Rakyat sendiri.

 

Tuntutan saman oleh Syaiful sahaja mencecah lebih RM4 juta, termasuk:

Gaji hampir tiga tahun: RM1.3 juta
Elaun perubatan: RM1.44 juta
Bonus prestasi tiga tahun: hampir RM1 juta

 

Tuntutan paling tinggi difailkan oleh Mukhti yang menuntut lebih RM15 juta, antaranya:

Gaji hingga umur persaraan: RM9.4 juta
Bonus tahunan: RM5 juta
Cuti tahunan tidak digunakan: RM895,000
Tuntutan plaintif lain turut mencecah antara RM3 juta hingga RM9 juta, termasuk gaji, elaun dan bayaran pampasan lain.

 

Terdahulu, beliau turut mempersoalkan proses audit dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Audit Bank Rakyat, dan menyatakan laporan audit tersebut tidak selari dengan realiti sebenar pengurusan YBR.

 

saman
Syaiful Rizal (kanan) dan bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menunjukkan laporan polis dan surat berkaitan pada sidang akhbar yang diadakan pada 30 Jun 2025.

 

“Adalah membimbangkan sekiranya sebuah bank menjadi instrumen untuk menganiaya mana-mana pihak,” katanya.

 

Pada 18 April lalu, Syaiful turut membuat laporan polis mendakwa laporan audit akhir yang dijadikan asas pemecatannya bersifat berniat jahat dan mengelirukan.

 

Beliau berkata, laporan itu tidak konsisten dengan mesyuarat akhir (exit meeting) pada 24 Mac yang mana semua isu audit telah dijawab dengan baik tanpa bantahan.

 

“Amat membimbangkan jika jabatan audit sebuah bank boleh menjadi instrumen untuk menganiaya mana-mana pihak,” katanya.- DagangNews.com