KUALA LUMPUR 30 Jun - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani, bersama tiga lagi bekas warga kerjayayasan itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Yayasan Bank Rakyat dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat).
Saman tersebut difailkan atas dakwaan wujudnya campur tangan oleh Bank Rakyat dalam urusan pentadbiran yayasan itu, yang menurut mereka telah menyebabkan penamatan perkhidmatan secara tidak sah terhadap Syaiful Rizal dan lain-lain.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tindakan undang-undang itu diambil susulan pemberhentian mengejut Syaiful Rizal pada 25 April 2025 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Beliau mendakwa, tidak diberi justifikasi sewajarnya selain dituduh gagal mematuhi tatakelola.
Sementara itu, tiga lagi warga kerja turut ditamatkan atas alasan yang didakwa tidak berasas, dan berpunca daripada campur tangan Bank Rakyat dalam pengurusan YBR.
“Tindakan yang dikenakan bukan sahaja menjejaskan reputasi profesional kami, malah telah mencemarkan integriti institusi. Jika benar ada salah laku, Bank Rakyat sepatutnya melalui proses yang telus dan profesional,” ujar Syaiful Rizal lapor Suara.TV.
Beliau turut mempersoalkan proses audit dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Audit Bank Rakyat, dan menyatakan bahawa laporan audit tersebut tidak selari dengan realiti sebenar pengurusan YBR.
“Adalah membimbangkan sekiranya sebuah bank menjadi instrumen untuk menganiaya mana-mana pihak,” katanya.
Turut hadir, bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Syaiful Rizal berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa sekiranya wujud aduan atau dakwaan salah laku.
Bagaimanapun, beliau turut memberi amaran, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika terdapat laporan yang bersifat palsu atau berniat jahat.
Kesemua plaintif diwakili oleh firma guaman Tetuan Amelda & Partners dalam prosiding itu. - DagangNews.com








