KUALA LUMPUR 29 Mei – Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) mencatatkan penurunan 79.5% untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM2.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berbanding RM12.47 peratus pada 2023.
Perolehan juga menurun 5.9 peratus kepada RM294.7 juta, berbanding RM313.1 juta pada tahun 2023.
Pengerusi Kumpulan BDB, Che Had Dhali berkata, seperti yang dijangkakan, ketiga-tiga penunjuk kewangan merosot
berbanding tahun sebelumnya.
"Akibatnya, Pendapatan Sesaham (EPS) merosot kepada 0.84 sen, turun daripada 4.16 sen.
"Namun begitu, kami tetap komited dan terdorong untuk meneruskan pertumbuhan merentasi semua bidang dan kami yakin bahawa kedua-duanya inisiatif sedia ada dan usaha niaga baharu kami akan menyumbang kepada
penciptaan nilai jangka panjang untuk Kumpulan," kata beliau dalam penyata laporan tahunan BDB.
Sementara itu, dalam kenyataan media, BDB menyatakan syarikat itu terus menggiatkan pengembangannya di Wilayah Utara melalui pelaksanaan beberapa projek strategik berimpak tinggi dalam sektor infrastruktur, pembangunan hartanah dan ekonomi perak, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju utama dalam menjana pertumbuhan mampan di rantau tersebut.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata BDB akan terus memperkasa perniagaan teras yang menjadi tunjang operasinya, dengan memberi penekanan terhadap kecekapan pengurusan sumber bagi meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat bagi tahun kewangan yang akan datang.
Pertumbuhan Merentas Segmen Perniagaan Teras
Dalam divisyen pembangunan hartanah, BDB telah melancarkan Fasa 1 daripada 3 Fasa Perbandaran Darulaman Saujana di Hosba, Kubang Pasu yang kini telah pun dibuka untuk jualan.
Projek dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM74.02 juta ini melibatkan pembinaan rumah teres setingkat dan rumah kluster, selari dengan usaha BDB untuk memenuhi permintaan terhadap kediaman mampu milik di Negeri Kedah.
Divisyen Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ) BDB juga terus memberikan nilai tambah yang signifikan, dengan Loji Rawatan Air Pelubang kini hampir siap. Apabila beroperasi kelak, kemudahan itu dijangka meningkatkan akses bekalan air untuk penduduk di Daerah di Kubang Pasu dan Kota Setar.
Untuk divisyen Leisure, Darulaman Park dan Darulaman Golf & Country Club (DGCC) terus menarik minat orang ramai untuk datang dan menjayakan pelbagai jenis acara dan aktiviti sekaligus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama untuk rekreasi dan acara di Kedah.
Raja Shahreen berkata demikian semasa Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30, yang diadakan di Hotel Raia diAlor Setar, Kedah. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi BDB PMgr. Sr. Haji Che Had Dhali, bersama ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Kumpulan.
Inisiatif Strategik dan Peluang Perniagaan Baharu
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Raja Shahreen menzahirkan keyakinan menerusi beberapa inisiatif strategik dan peluang perniagaan baharu yang telah dirangka untuk mengukuhkan operasi dan meningkatkan prestasi keseluruhan BDB.
Salah satu projek utama ialah Aman Seterra Sanctuary, Langkawi, sanctuary persaraan antarabangsa berinspirasikan Islam pertama di dunia. Projek ini mendapat kerjasama RUKUN Senior Living (Indonesia) dan Well Aging Japan Association (WAJA) yang telah dimeterai sewaktu Ekspo Dunia Osaka 2025. Ia sejajar dengan landskap penuaan global pada masa kini yang mencatat peningkatan ketara sekaligus menjadikan BDB berada pada kedudukan yang tepat untuk memasuki pasaran ekonomi perak di rantau ASEAN.
"Dalam masa yang sama, BDB juga giat memperluaskan peluang perniagaan di luar Kedah. Kami telah menandatangan perjanjian persefahaman bersama Mutiara Perlis Sdn. Bhd. untuk pembangunan Pelabuhan Sanglang Perlis.
“Selain itu, perbincangan sedang dijalankan untuk kerjasama bagi membangunkan projek pembangunan hartanah di Arau dan pembinaan gudang dan kemudahan industri di Pelabuhan Darat Perlis dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping," tambahnya.
Menyokong Agenda Pembangunan Nasional
BDB terus komited menyokong agenda pembangunan ekonomi negara dan kawasan seratau khususnya di Kulim Hi-Tech Park, yang merupakan hab utama bagi segmen semikonduktor di Malaysia. Syarikat sedang berusaha untuk meneroka peluang perniagaan untuk menyumbang melalui kepakaran dalam bidang infrastruktur, tenaga, dan perkhidmatan sokongan.
Dalam masa yang sama, BDB turut bersedia bagi menyokong pembangunan pesat di negeri Pulau Pinang di mana syarikat boleh memainkan peranan dengan membekalkan bahan mentah dan menawarkan perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan.
"BDB sedang berkembang seiring dengan kemajuan di rantau ini daripada pembangunan hartanah kepada perkongsian strategik sehinggalah ke industri ekonomi perak. Oleh itu, kami berbangga kerana dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada agenda pembangunan Kedah dan Wilayah Utara," jelas Raja Shahreen.
- DagangNews.com







