Bayaran RM9.5 juta sebagai `service fee' untuk hentikan gangguan ‘Corporate Mafia’, bukan sogokan – Victor Chin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bayaran RM9.5 juta sebagai `service fee' untuk hentikan gangguan ‘Corporate Mafia’, bukan sogokan – Victor Chin

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 26 Mac - Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long menegaskan bayaran RM9.5 juta yang dibuatnya sebelum ini bukan rasuah, sebaliknya dilakukan sebagao `service fee' bagi menghentikan gangguan berterusan ke atas diri dan keluarganya daripada kumpulan yang didakwanya sebagai “Corporate Mafia”.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, dakwaan bahawa bayaran tersebut merupakan sogokan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

 

Menurutnya, bayaran itu tidak dibuat untuk “kaw tim” mana-mana agensi penguatkuasaan, mahupun untuk menutup sebarang siasatan atau menyelesaikan dakwaan salah laku terhadap dirinya.

 

Sebaliknya, beliau mendakwa bayaran berkenaan adalah “yuran perkhidmatan” yang dibuat dalam keadaan terdesak bagi menghentikan permusuhan terhadap individu yang dikaitkan dengannya.

 

Victor Chin mendakwa dimaklumkan wang RM9.5 juta itu akan disalurkan kepada kumpulan berkenaan bagi meredakan tekanan, menghentikan gangguan terhadap pihak berkaitan serta memberinya peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.

 

Bayaran dibuat dalam keadaan terdesak

Beliau turut mendakwa berada di bawah tekanan hebat apabila kumpulan tersebut memaksanya menyerahkan pegangan saham secara percuma.

 

“Untuk mencapai tujuan itu, mereka menyasarkan orang tersayang, rakan perniagaan, syarikat, kenalan malah individu yang hanya dianggap mempunyai kaitan dengan saya,” katanya.

 

Menurutnya lagi, lebih 500 akaun individu yang dikaitkan dengannya dibekukan, menyebabkan gaji tidak dapat dibayar serta komitmen kewangan seperti pinjaman perumahan dan kenderaan terganggu.

 

Keadaan itu katanya, mencetuskan panik serta tekanan kewangan dan mental yang serius dalam kalangan pihak terjejas.

 

“Saya tidak mempunyai pilihan. Saya berasa amat bersalah kerana mereka menderita hanya kerana mengenali saya atau dikaitkan dengan saya,” katanya.

 

Beliau menjelaskan bahawa bayaran tersebut dibuat bagi melindungi individu terlibat serta menghentikan kesengsaraan kewangan mereka dengan segera.

 

“Bayaran RM9.5 juta itu hanyalah reaksi untuk menghentikan tindakan melampau kumpulan tersebut,” katanya sambil menambah ketenangan fikiran adalah lebih bernilai daripada wang.

 

Sehubungan itu, Victor Chin sekali lagi mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau sebarang siasatan bebas dan adil bagi merungkai kebenaran sebenar.

 

Beliau berharap siasatan tersebut dijalankan secara menyeluruh dan tidak memfokuskan kepada dirinya sahaja, sebaliknya melibatkan semua pihak yang berkaitan dengan insiden berkenaan.

 

Percanggahan dakwaan timbul persoalan

Bagaimanapun, kenyataan terbaharu itu dilihat bercanggah dengan dakwaan awalnya sebelum ini apabila beliau mendakwa wang berkenaan disalurkan kepada seorang pemimpin kanan politik, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pihak sebenar yang menerima bayaran tersebut.

 

Kelmarin, Chin menggemparkan negara apabila mendakwa telah memberi RM9.5 juta kepada seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang digelarnya sebagai ‘Mr R’.

 

Rentetan itu, Rafizi Ramli dan R Ramanan tampil menafikan mereka adalah individu yang dimaksudkan oleh beliau. - DagangNews.com