Berjaya Assets bentuk usaha sama dengan PG Car Centre dan HSHP Auto perluas barisan pemasangan automotif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berjaya Assets bentuk usaha sama dengan PG Car Centre dan HSHP Auto perluas barisan pemasangan automotif

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Feb - Berjaya Assets Bhd (BAssets) memeterai perjanjian usaha sama (JV) untuk memperluas barisan pemasangan automotif melalui anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Assembly Sdn Bhd (B-Assembly).

 

Usaha sama bernilai RM10 juta itu melibatkan HSHP Auto Technology Sdn Bhd (39%) dan PG Car Centre (PGCC) Northern Region Sdn Bhd (10%), dengan B-Assembly memegang 51% kepentingan.

 

BAssets berkata, usaha sama tersebut akan memudahkan pemasangan jenis kenderaan lain dan dijangka siap pada suku kedua 2025.

 

"Sebanyak 75% keuntungan daripada usaha sama ini akan diberikan sebagai dividen dan pemegang saham tidak boleh memindahkan saham tanpa menawarkan kepada rakan kongsi terlebih dahulu.

 

"Walaupun usaha sama ini tidak memberi kesan segera terhadap kewangan, ia dijangka memberi sumbangan positif dalam jangka panjang," kata BAssets dalam satu kenyataan.

 

Jawatankuasa audit dan pengurusan risiko syarikat menganggap usaha sama berkenaan sebagai adil, munasabah dan memberi manfaat kepada BAssets.

 

Pengarah dan pemegang saham utama PGCC, Datuk Tony Khor, menarik diri daripada perbincangan lembaga pengarah bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

 

BAssets kekal optimistik dalam memperkukuhkan operasi automotifnya melalui usaha sama tersebut. - DagangNews.com