Bantuan SARA RM100: Lebih 22 juta rakyat Malaysia terima sumbangan bermula 9 Feb 2026 - MoF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bantuan SARA RM100: Lebih 22 juta rakyat Malaysia terima sumbangan bermula 9 Feb 2026 - MoF

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb – Kerajaan Madani mula menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk lebih 22 juta warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion bermula hari ini.

 

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan setiap penerima akan mendapat bayaran sekali bayar RM100, yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026. 

 

“Bagi isi rumah dengan beberapa ahli dewasa, bantuan adalah berganda. Contohnya, keluarga yang terdiri daripada suami, isteri serta dua anak berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM400 secara keseluruhan, tidak termasuk bantuan SARA Bulanan jika berkelayakan.

 

 

 

 

 

 

“Seiring dengan maklum balas rakyat, Kerajaan MADANI menambah baik pelaksanaan program ini dengan memperluaskan kategori barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA, termasuk makanan sejuk beku (frozen food). 

 

“Langkah ini meningkatkan jumlah keseluruhan kategori barangan kepada 15 kategori, dengan lebih 140,000 jenis barangan layak dibeli,” kata MoF dalam kenyataan tersebut.

 

Selain itu, kerajaan menyasarkan peningkatan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung 2026, dengan jarak kedai runcit terdekat dikurangkan daripada 10 kilometer (km) kepada 7 km bagi memudahkan akses rakyat.

 

Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan dan FAQ berkaitan SARA untuk semua melalui portal rasmi SARA di [https://sara.gov.my](https://sara.gov.my).

 

 

 

 

 

Kementerian turut menasihatkan rakyat agar berhati-hati terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan. 

 

MoF menegaskan mereka tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan penerima disarankan hanya merujuk kepada portal rasmi bagi maklumat terkini. - DagangNews.com