KUALA LUMPUR 1 Mei - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) mengumumkan kejayaan pengambilalihan saham Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan).
BPMB berkata transaksi itu telah selesai berdasarkan aset ketara bersih EXIM Bank dan SME Bank setakat 31 Dis 2023.
Kini, kumpulan BPMB dengan EXIM Bank dan SME Bank sebagai anak syarikatnya, membentuk entiti bersatu untuk menyampaikan modal impak dengan lebih baik melalui ekosistem pembiayaan pembangunan, sejajar dengan dasar utama negara — Rangka Kerja Ekonomi Malaysia Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Transformasi Ekonomi Bumiputera2035.
“Disokong oleh gabungan tenaga kerja sedia ada lebih 2,000 orang, kumpulan BPMB meningkatkan kapasitinya untuk memberikan impak yang lebih besar pada skala.
“Kumpulan itu kekal komited untuk mengekalkan tenaga kerja penuhnya dan membolehkan peranan yang bermakna, mengiktiraf modal insan sebagai pusat kepada usaha pembangunan negara,” kata bank itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Berikutan penyempurnaan pengambilalihan itu, BPMB berkata ketiga-tiga bank itu berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengembangkan dan mengukuhkan mandat sedia ada mereka bagi merapatkan jurang pembiayaan pembangunan negara.
Menurutnya, tonggak utama dalam menangani jurang ini termasuk, antara lain, sokongan kepada usahawan bumiputera, pembiayaan PKS, memupuk urus niaga masuk dan keluar, dan menyokong kemampanan untuk pertumbuhan.
Secara kolektif, ia berkata bagi tahun ini, kumpulan itu mempunyai peruntukan sebanyak RM8.3 bilion untuk digunakan bagi pembangunan negara melalui gabungan program strategiknya.
“Pemerolehan ini dijangka menjana hasil dan sinergi kos dari semasa ke semasa, kerana ketiga-tiga institusi itu semakin menyepadukan sumber dan kepakaran mereka untuk menyokong pertumbuhan perniagaan Malaysia, baik besar mahupun kecil,” katanya.
Melangkah ke hadapan, kumpulan BPMB akan melaksanakan pelan penyepaduan holistik yang memanfaatkan kekuatan dan sumber setiap entiti untuk menyokong tiga segmen pasaran yang berbeza dengan berkesan.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan institusi kewangan pembangunan akan distruktur semula melalui penggabungan BPMB, SME Bank dan Exim Bank. - DagangNews.com








