KUALA LUMPUR 6 Feb - BIMB Holdings Sdn Bhd menampilkan beberapa inisiatif pembiayaan digital, yakin penubuhan syarikat bersama RELDYN Tech Sdn Bhd, FINODYN Sdn Bhd bakal mempelbagaikan modal perniagaan perbankan menerusi rumusan fintech.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, pendigitalan menjadi salah satu daripada enam tonggak penting yang menyokong strategi pertumbuhan LEAP25 bank sejak peningkatan penggunaan QR semasa pandemik.
"Fokus kami pada inovasi digital bukan hanya untuk kekal di hadapan, kami menyasar untuk mencipta perbankan Islam dalam era digital.
"Kami terus memberi tumpuan untuk meningkatkan penawaran digital kami agar setanding dengan rakan sebaya dan pesaing kami, dengan matlamat untuk menjadi peneraju dalam perbankan digital," katanya semasa forum “In Conversations Series” : Building A Future Ready Bank, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Digital Kumpulan, Nur Farilla Abdullah berkata, sejak 2019, Bank Islam telah mereka semula aplikasi mudah alih dan modal operasinya bagi mengembangkan serta meningkatkan akses perbankan kepada semua penggunanya.
Beliau menonjolkan sebanyak empat teras dalam usaha kumpulan menjadi peneraju bank digital.
"Ini termasuk perkhidmatan awan untuk mempercepatkan inovasi, penggunaan data bagi menambah baikkan sistem operasinya, mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pengalaman pengguna serta mengintegrasikan aplikasi pengaturan antara muka terbuka (Open API) untuk memacu ekosistem kewangan digital.
"Antara 2020 dan 2022, kami menumpukan pada analitik deskriptif dengan menggunakan set data sedia ada dan alatan sumber terbuka bagi menyediakan analitik asas dan mempamerkan nilainya kepada perniagaan.
"Dalam fasa berikutnya dari 2022 hingga 2023, kami menubuhkan "Cloud-Based Data", sebuah platform data bersatu yang diperkaya dengan set data yang pelbagai bagi menyokong analitik lanjutan dan AI.
"Memandang ke hadapan, matlamat kami adalah untuk membenamkan AI dalam seluruh operasi bank," katanya semasa membentangkan perkembangan digital Bank Islam di forum tersebut, hari ini.
Dalam usaha mengembangkan pembiayaan digital, BIMB Holdings telah menjalin kerjasama dengan RELDYN Tech Sdn Bhd (RELDYN) untuk menubuhkan syarikat teknologi kewangan, FINODYN Sdn Bhd (FINDOYN).
Platform tersebut ditubuhkan bagi memenuhi keperluan bank untuk mempelbagaikan rumusan pembiayaan digital.
Kedua-dua pihak berkata, FINODYN akan memajukan landskap kewangan digital patuh syariah dengan menawarkan platform teknologi kewangan, perisian dan perkhidmatan yang canggih kepada pasaran.
BIMB Holdings akan mempunyai 40% kepentingan dalam usaha sama itu, manakala RELDYN akan memiliki 60% kepentingan mengawal. - DagangNews.com








